Mon | Nov 19, 07 | 1:23:12 pm MYT
KOTA BHARU, 19 Nov (Hrkh) - Suruhanjaya Diraja yang bakal ditubuh kerajaan bagi menyiasat rakaman klip video yang dikatakan membabitkan perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka dengan seorang hakim kanan berhubung pelantikan baru Ketua Hakim disifatkan gimik politik untuk menghadapi pilihan raya.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, berkata tidak ada gunanya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja hanya semata-mata sebagai gimik politik sebagaimana Suruhanjaya Polis yang ditubuhkan pada tahun 2004, di saat-saat negara menghadapi pilihan raya umum.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 45 orang bakal-bakal haji yang akan berlepas ke tanah suci untuk menunaikan ibadat haji, di Bilik Mesyuarat MMK, Kota Darulnaim, di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuat pengumuman berhubung perkara itu baru-baru ini.
Menurut Abdullah, penubuhan suruhanjaya itu difikirkan wajar berdasarkan laporan panel khas bebas yang menyiasat kesahihan klip video itu baru-baru ini.
Menurut Husam lagi, memandangkan suruhanjaya itu (Suruhanjaya Polis) ditubuhkan kerana gimik politik setelah mendapat kritikan pelbagai masyarakat berhubung kontinjen itu, akhirnya ia tidak berfungsi langsung.
"Mana badan tu (Suruhanjaya Polis) sekarang, dan apa fungsinya sehingga rakyat langsung tidak didedahkan hasil kajian yang diperolehi oleh suruhanjaya itu.
"Jadi penubuhannya hanya sia-sia sajalah, kerana itu kita juga takut Suruhanjaya Diraja yang bakal ditubuhkan nanti juga akan mengalami nasib yang sama, apa lagi penubuhannya hanya sebagai gimik politik untuk menghadapi pilihan raya umum,"ujarnya.
Husam juga turut menganggap penubuhan berkenaan sudah terlewat kerana desakan pelbagai pihak berhubung perkara itu (penubuhan Suruhanjaya Diraja) sudah dicadangkan sejak awal lagi.
Namun amat malang sekali kerana kerajaan lambat bertindak menubuhkan suruhanjaya bebas itu sedangkan pelbagai pihak sudah lama mencadangkan sedemikian.
"Kasihan Kerajaan Malaysia, lambat nak fikir satu-satu perkara sebagaimana yang dicadangkan oleh mana-mana pihak sebelum ni, kalau buat awal lagi (tubuh suruhanjaya) tentu perkara ni sudah lama selesai,"ujarnya.
Husam seterusnya berkata, dua aspek yang perlu disiasat berhubung rakaman perbualan terbabit, antaranya kesahihan rakaman klip video berkenaan dan mengenai perbualan (isi) yang terdapat dalam rakaman itu.
Husam, seterusnya memberitahu kerajaan harus memperbetulkan kedudukan badan kehakiman di negara ini agar kembali telus sebagaimana yang dicadangkan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas ketika berucap pada majlis forum yang bertajuk "Krisis Kehakiman, Bagaimana hendak membetulkannya".
Husam memberitahu, antara langkah-langkah yang dicadangkan Tun termasuklah menubuhkan sebuah suruhanjaya kehakiman untuk melantik dan menentukan kenaikan pangkat para hakim.
Tun Salleh juga turut mencadangkan agar memasukkan semula klausa kuasa kehakiman ke dalam perlembagaan untuk memberi kuasa semula kepada mahkamah. - mks.
No comments:
Post a Comment