Monday, November 19, 2007

Jentera UMNO Johor mula digerakkan

JOHOR BAHRU 18 Nov. – Jentera pilihan raya di semua 26 bahagian UMNO di Johor mula digerakkan bagi menghadapi pilihan raya umum kali ke-12 pada bila-bila masa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, serentak itu semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini juga akan diarah berbuat demikian sedikit masa lagi.

Beliau berkata, jentera pilihan raya itu membabitkan bilik gerakan, jawatankuasa pelbagai bidang serta tugas memberikan penjelasan kepada para pengundi.

‘‘Keputusan ini tiada kaitan dengan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman baru-baru ini kerana tiada ‘ahli nujum’ di kalangan kami,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Ab. Rashid baru-baru ini mendakwa beliau tahu tarikh pilihan raya tetapi enggan mengumumkannya.

Abdul Ghani yang juga Pengerusi BN Johor berkata, beliau yakin jentera pilihan raya umum peringkat BN akan bergerak lebih berkesan pada pilihan raya ini ekoran wujudnya persefahaman tinggi di kalangan mereka.

‘‘UMNO juga yakin dapat menawan kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang yang kini dikuasai parti Pas kerana 75 peratus daripada pengundinya penyokong BN,” katanya.

Beliau berkata, dasar kerajaan yang tidak membezakan kawasan dalam menyalurkan sesuatu pembangunan khususnya di luar bandar juga membuka mata pengundi untuk memihak kepada BN.

Menurutnya, pada masa ini terdapat 1.26 juta pengundi di Johor dengan 800,000 daripadanya merupakan ahli parti komponen BN termasuk UMNO.

‘‘UMNO juga sedang giat mendaftarkan baki 10,000 ahli sebagai pendaftar pilihan raya sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Johor telah mengenal pasti isu yang akan dibangkitkan pembangkang pada kempen pilihan raya kali ini bagi mengabui mata rakyat khususnya pengundi.

Katanya, isu itu termasuk kesan kenaikan harga petroleum, projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan soal keselamatan.

‘‘Kita akan memberikan penjelasan konkrit kepada para pengundi untuk mematahkan isu mereka,” katanya.

Selain itu, menurutnya, kerajaan juga sedang berusaha menyelesaikan isu tempatan yang dibangkitkan rakyat dari semasa ke semasa.

No comments: