Monday, November 19, 2007

Tarikh pilihan raya: PM tidak nafi Pengerusi SPR

Abdul Halim Mohd Rashid
Mon | Nov 19, 07 | 11:45:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Hrkh) - Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa keputusan mengenai tarikh pilihan raya terletak di tangannya, tetapi beliau tidak pula menafikan apa yang didakwa oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, respon Perdana Menteri tidak menafikan anggaran kasar SPR bila parlimen akan dibubarkan.

Menurut beliau, walaupun kuasa mencadangkan pembubaran parlimen terletak di tangan Perdana Menteri, tetapi itu bukan bermakna orang lain tidak diberitahu atau langsung tidak tahu tentang tarikh pilihan raya.

Perdana Menteri, kata Husam, tidak menyatakan adakah agakan Pengerusi SPR tentang tarikh pilihanraya betul atau tidak.

"Kalau tak betul, nafikan saja. Jika tak dinafikan, ia betul. Sungguhpun kuasa menyembahkan tarikh pembubaran parlimen kepada (Yang di-Pertuan) Agong terletak di tangan Perdana Menteri, itu bukan bermakna Perdana Menteri tidak pernah memberitahu sesiapa termasuk Pengerusi SPR mengenainya," kata beliau.

Abdul Rashid sebelum ini mendakwa beliau tahu tarikh pilihan raya tetapi "tak boleh bagitahu.."

Menurut Husam, berdasarkan apa yang berlaku itu, terdapat beberapa kemungkinan.

"Satu, pilihan raya diadakan lebih awal dari Februari atau Mac 2008 tetapi Perdana Menteri telah berpakat dengan Pengerusi SPR untuk memberikan gambaran pilihan raya akan diadakan pada tarikh yang lebih jauh untuk memerangkap pembangkang.

"Kedua, Pengerusi SPR memang tahu tarikh pilihan raya tersebut melalui apa-apa isyarat atau sumber dan beliau sengaja mengumpankan gimmik ini untuk mengalihkan perhatian rakyat dari kesan gelombang kuning Sepuluh Sebelas baru lalu. Dua dalam satu. Kerana itu, PM tidak berani menafikan," katanya.

Apa pun, kata beliau, polemik tersebut "tidak harus melupakan kita dengan tuntutan reformasi pilihan raya dan juga persiapan pilihanraya" tidak kira bila ia akan diadakan.


No comments: