Monday, November 19, 2007

Pas pertikai kenyataan istana

KOTA BHARU: Pas mendakwa kekesalan yang ditegaskan Yang di-Pertuan Agong berhubung perhimpunan haram Bersih yang mengaitkan baginda dan Istana Negara, sekadar kenyataan Pengelola Istana Negara.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hassan, itu dibuat mengikut arahan pihak tertentu.

"Itu bukan Agong yang kata...itu pegawai politik kata...saya tidak yakin Agong kata macam itu...itu pegawai lantikan politik mungkin mengikut suruhan sesiapa...dia cakap.

"Agong tidak boleh membuat kenyataan apa-apa...dia diam saja," katanya selepas majlis penyampaian bantuan peribadi kepada bakal haji di Kota Darul Naim, semalam.

Beliau mengulas laporan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara tidak pernah memperkenankan atau menyokong mana-mana pihak menganjurkan atau terbabit dalam perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Wan Mohd Safiain dalam satu kenyataan, menegaskan Seri Paduka kesal kerana beberapa pihak tertentu mendakwa perhimpunan haram itu mendapat perkenan dan sokongan baginda serta Istana Negara.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan Kelantan, menolak saranan Pas dan penganjur Bersih perlu memohon maaf kepada Istana Negara berhubung isu terbabit.

"Saya ragu-ragu dengan kenyataan Istana Negara itu kerana bukan Agong yang bercakap, sebaliknya orang biasa (pengelola) yang duduk dalam istana," katanya.

No comments: