JOHOR BAHRU: Umno Johor semalam mengarahkan semua jentera di 26 bahagian di negeri itu mula bergerak untuk membuat persiapan dalam menghadapi pilihan raya umum, tidak lama lagi.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata walaupun tarikh pilihan raya masih belum diketahui, pihaknya berpendapat langkah itu perlu sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan berkenaan.
“Selain itu, kita juga akan mula menggerakkan jentera Barisan Nasional (BN) sama ada pada peringkat jawatankuasa pelbagai bidang atau bilik gerakan untuk bekerja menjelaskan pelbagai perkara berkaitan di depan pengundi.
“Dengan keadaan parti dan BN Johor yang kukuh dan persefahaman yang tinggi, saya percaya jentera parti dan BN akan dapat bergerak dengan berkesan untuk menyapu kembali semua kerusi di negeri ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN Johor berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Umno Johor di Jalan Yahya Awal di sini, semalam.
Abdul Ghani berkata, selain itu, Umno bahagian juga diminta memperhebatkan gerakan kempen mendaftar sebagai pengundi kepada ahli yang layak mengundi sehingga selewat-lewatnya akhir tahun ini.
“Selain itu, difahamkan, terdapat sesetengah pengundi pula mempunyai masalah kad pengenalan yang tidak lengkap dan dijangka berdepan dengan masalah ketika mengundi.
“Oleh itu, kami akan mengambil langkah membantu mengatasi masalah berkenaan supaya mereka dapat keluar mengundi pada pilihan raya," katanya sambil menjelaskan ada 1.25 juta pengundi di negeri ini dengan kira-kira 800,000 pengundi adalah ahli BN termasuk 500,000 ahli Umno.
No comments:
Post a Comment