Tuesday, November 20, 2007

'Tiada tindakan selepas siasatan menyeluruh'

Oleh Munira Yusoff

Lingam dakwa adik mula hidap masalah mental sebelum 1998

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk V K Lingam yang dikaitkan dalam klip video membabitkan seorang hakim kanan bagi mengatur pelantikan ketua hakim negara, berkata Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak pernah mengambil tindakan terhadapnya berhubung dakwaan rasuah walaupun siasatan menyeluruh dilakukan pada 1998.

Lingam berkata, siasatan itu dibuat selepas aduan dibuat adiknya, Thirunama Karasu.


"Bagaimanapun saya tidak dikenakan tindakan lanjut seperti didakwa di mahkamah kerana Jabatan Peguam Negara mengetahui Thirunama Karasu mengalami sakit mental.

"Malah, Thirunama Karasu yang lebih dikenali sebagai Balan, juga pernah membuat dakwaan terhadap beberapa individu terkemuka sebelum ini. Bagaimanapun mereka tidak mempedulikannya kerana tahu mengenai penyakit mentalnya," katanya dalam kenyataan kepada Berita Harian, semalam.

Semalam, akhbar itu melaporkan Balan pernah membuat dua laporan polis, pada Mac lalu, mengaitkan Lingam dengan kegiatan rasuah membabitkan beberapa bekas ketua hakim negara, hakim kanan, bekas pendakwa raya dan pegawai kanan polis.


Beliau juga mendakwa dipergunakan Lingam untuk memberi rasuah kepada pihak yang terbabit dengan kehakiman, perundangan dan polis serta mengesahkan pembabitan abangnya dalam pemberian rasuah itu.

Salinan laporan polis itu diedarkan kepada pemberita pada sidang media oleh peguam, Wee Choo Keong, yang juga Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP) di Petaling Jaya di sini, kelmarin.

Lingam kesal adiknya diperalatkan pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri berhubung isu klip video membabitkannya.

"Malangnya hubungan antara saya dan Balan tidak baik dan kami tidak lagi berhubung sejak 1997 selepas berselisih faham.

"Kini saya sekali lagi menjadi mangsa tohmahan Balan. Bagaimanapun, buat masa ini tidak sesuai untuk saya mengulas lanjut kerana kes ini masih dalam siasatan," katanya.

Lingam mendakwa Balan menghidap masalah mental sejak sebelum 1998 dan sering mengalami kemurungan serta sukar mengawal emosinya sehingga cenderung kepada perbuatan mencederakan orang.

Selain itu, katanya, adiknya juga pernah dibuang kerja di Tenaga Nasional Bhd selepas menyerang seorang rakan sekerja.

Mengenai penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat klip video membabitkannya, Lingam berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada suruhanjaya itu.

No comments: