Tuesday, November 20, 2007

Isu penyapu: Khir Toyo anggap komen PM positif

SHAH ALAM 19 Nov. – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tidak menganggap saranan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya beliau mencari kaedah lain untuk menilai pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai membantah atau mengkritik anugerah penyapu.

Sebaliknya, beliau melihat komen Perdana Menteri itu sebagai sesuatu yang positif dan adil memandangkan perkara tersebut sudah dimaklumkan sendiri oleh beliau kepada Perdana Menteri.

‘‘Saya tak anggap kenyataan Perdana Menteri sebagai kritikan kerana beliau sendiri menyebut menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk memutuskan apa bentuk tindakan asalkan ia dipersetujui oleh semua ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan.

‘‘Selain itu, saya juga telah bercakap secara peribadi dengan beliau (Perdana Menteri) selepas gambar (anugerah penyapu) disiarkan media dan saya nyatakan dengan jelas bahawa ia dibuat selepas mendapat persetujuan semua pihak yang terlibat untuk kemajuan dan bukan mengaibkan sesiapa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Pembentangan Bajet Kerajaan Negeri bagi tahun 2008 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Mohamad Khir mengulas kenyataan Abdullah hari ini yang meminta kerajaan negeri Selangor memikirkan kaedah lain bagi menilai PBT di negeri itu mengikut cara yang tidak menyinggung mana-mana pihak.

Mengulas saranan Abdullah agar beliau memikirkan kaedah lain, Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) atau memberhentikan kakitangan yang gagal mencapai prestasi yang dikehendaki.

‘‘Sebenarnya VSS atau memberhentikan pekerja merupakan tindakan yang paling sukar kerana melibatkan masa depan pekerja selain melibatkan penilaian individu berbanding pemberian penyapu untuk sesebuah jabatan berdasarkan prestasi keseluruhannya,” katanya.

No comments: