Tue | Nov 20, 07 | 12:09:52 pm MYT
Pada malam 17 November 2007 yang lalu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong telah menghadiri Majlis Santapan Seri Pahlawan 'Pengorbananku Untukmu Malaysia' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Baginda diiringi oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah. Turut mengiringi termasuklah Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Zainal Abidin Zin.
Agak terkejut kerana majlis ini tidak dihadiri oleh Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Majlis ini diadakan oleh Kementerian Pertahanan tetapi Najib tidak hadir walaupun dikatakan dia sudah berada di negara kerana baru pulang dari Singapura.
Apakah Najib tidak menganggap majlis ini penting kerana ia membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Abdullah yang juga Presiden Umno. Atau apakah benar Najib masih berada di luar negara sepertimana yang diberitahu oleh para pegawainya yang menyebabkan Timbalan Presiden Umno ini tidak sempat kembali untuk hadir di majlis tersebut?
Semasa Perhimpunan Agung Umno 2007 lalu, Najib telah menegaskan pendiriannya dia tetap memberi sokongan padu kepada Abdullah. Pendiriannya ini diluahkan semasa berucap di dalam penggulungan yang dikatakan lebih baik dan bernas jika di bandingkan dengan Presidennya.
Najib seolah-olah sedar ada 'skuad pemantau' yang memperhatikan segala gerakan 'orang-orang Najib' untuk menilai sejauhmana kesungguhan dan kepercayaan Najib terhadap Abdullah.
'Skuad pemantau' ini juga akan menilai sejauhmana sokongan Ketua-ketua Umno bahagian terhadap Abdullah mahupun Najib. Najib dikatakan mula menyedari hakikat ini apabila semakin ramai Ketua Umno bahagian ataupun Adun dan Ahli Parlimen yang enggan 'kerap' bertemu dengan beliau memandangkan kepentingan 'periuk nasi' menjelang Pilihan raya umum ke-12 akan datang.
Ramai di katakan Ketua Umno bahagian menolak untuk menemui Timbalan Presiden Umno ini walaupun sebelum ini mereka kerap bertemu sama ada secara formal mahupun tidak formal. Mereka dikatakan cukup khuatir jika beberapa siri pertemuan dengan Najib akan diambil tindakan negatif oleh 'skuad pemantau' ini yang boleh menyebabkan mereka tidak akan terpilih dalam pilihan raya umum kelak.
'Skuad pemantau' ini dikatakan kumpulan khas yang memberi pelbagai laporan kepada Abdullah samada laporan negatif mahupun positif.
Najib juga merasai bahang politik apabila Abdullah sendiri mengambilalih isu video seorang hakim dan seorang peguam V.K. Lingam. Sebelum ini dikatakan Najib begitu pantas mengambil risiko dengan menyebut tiga orang yang dilantik untuk menyiasat kes tersebut tetapi tidak diberikan peranan sepenuhnya oleh Abdullah.
Sebaliknya pada minggu lalu, Abdullah mengambil langkah drastik dengan melantik tiga orang Menteri menyiasat isu tersebut dan secara tidak langsung tiga orang panel yang dilantik oleh Najib sudah tidak berperanan semula.
Tindakan yang lebih drastik lagi adalah apabila Abdullah sendiri bersetuju untuk melantik Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu video tersebut. Pelajaran yang diperolehi dari isu tersebut adalah Abdullah mahu membuktikan bahawa dirinya adalah lebih berkuasa jika di bandingkan dengan Najib.
Ia juga seolah-olah memberi 'amaran' kepada orang-orang Najib supaya menghentikan segala gerakan yang cuba menguji sejauhmana sokongan kepimpinan Umno Bahagian terhadap Abdullah. Memang ada suara-suara nakal yang mahu menguji sejauhmana kekuatan Abdullah jika Najib mahu bertanding jawatan Presiden Umno sebaik sahaja selesainya Pilihan raya umum akan datang.
Najib sememangnya sudah cuba mengambil hati Abdullah sejak awal tahun ini lagi. Misalnya dalam satu seminar yang dianjurkan oleh menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin mengenai Allahyarham Tun Abdul Razak satu ketika dahulu, kesemua keluarga Allahyarham Abdul Razak hadir termasuk isterinya.
Ia sememangnya sesuatu yang agak mengejutkan tetapi 'survival' politik Najib perlu diutamakan walaupun program ini dianjurkan oleh budak yang bertaraf Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno sahaja.
Kerana itu, majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan yang tidak dihadiri oleh Najib ini boleh menimbulkan pelbagai spekulasi. Spekulasi yang paling teruk sekali adalah mungkinkah majlis ini tidak diketahui oleh Najib sendiri? Atau diberitahu di saat-saat akhir sepertimana insiden yang berlaku semasa pembukaan Perhimpunan Agung Umno 2007 yang lalu.
Selain itu, apakah Najib akan bersedia untuk mempertahankan imej Abdullah yang semakin tercalar berikutan beberapa tindak tanduk yang tidak memberi 'kelegaan' kepada rakyat sekarang? Isu ketiadaan 'bonus' kepada kakitangan kerajaan, kenaikan harga barangan yang semakin mendadak sedikit sebanyak memberi impak politik kepada Abdullah untuk mengekalkan kemenangan besar yang diperolehinya pada tahun 2004 lalu.
Apa yang paling menakutkan kepada Najib dan 'orang-orangnya' adalah apakah akan berlaku penyingkiran besar-besaran untuk mencari calon dalam pilihan raya umum akan datang?
Yang pasti Abdullah akan mencari sokongan 'baru' untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam Pemilihan Perhimpunan Agung Umno akan datang. Ketika itu, harapan Khairy Jamaluddin memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno semakin cerah! - mks.
No comments:
Post a Comment