Tuesday, November 20, 2007

Khairy dan Nazri buta erti demokrasi - Dr Lo' Lo

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Nov 20, 07 | 7:42:57 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Hrkh) - Baru-baru ini, stesen berita antarabangsa, Al-Jazeera telah menayangkan program debat antara beberapa tokoh politik di negara ini antaranya, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Tan Sri Aziz dan seorang peguam, Malik Imtiaz Sarwar.

AJK PAS Pusat, Dr Lo'Lo Ghazali yang menyaksikan perdebatan antara tiga panel itu berkata, topik yang menjadi bahan perbincangan ialah, peristiwa himpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 10 November selain isu amalan demokrasi di negara ini.

Dalam perdebatan itu kata Dr Lo' Lo', jelas Khairy dan Nazri tidak faham bahawa hak untuk berkumpul adalah hak asasi semua rakyat bagi sebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi.

Khairy dan Nazri gagal?

Kedua-dua pemimpin Umno itu gagal memberikan alasan yang kukuh mengapa kekerasan terpaksa digunakan pada 10 November 2007, katanya.

Mereka gagal untuk memjustifikasi tindakan polis menggunakan air kimia dan gas pemedih mata untuk menyuraikan perkumpulan, katanya.

Kata Dr Lo' Lo lagi, kedua-dua pemimpin Umno itu gagal untuk menjusfikasi penangkapan lebih 80 peserta; tindakan polis mengepung Dataran Merdeka bagi menghalang peserta berkumpul di sana, katanya.

Pada waktu yang sama, laporan Al Jazeera juga menunjukkan semburan air kimia dan gas pemedih mata digunakan bagi menyuraikan peserta 10 November.

"Kedua-dua mereka gagal membuktikan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, setelah secara jelas pihak polis menggunakan kekerasan ke atas rakyat hanya kerana rakyat memilih untuk menyatakan perasaan mereka," katanya.

Polis secara ganas memijak lutut seorang pemerhati yang tidak melawan dan tidak bersenjata sehingga lutut orang tersebut hancur serta terpaksa dibedah, katanya.

Khairy juga cuba untuk menggunakan alasan peristiwa Batu Buruk sebagai bukti keganasan pembangkang, tetapi beliau terlupa bahawa di Batu Buruk orang awam telah ditembak dengan peluru hidup oleh pihak polis, kata Dr Lo' Lo.

Seharusnya pihak polis yang dipersalahkan kerana tempat tersebut telah dilangsungkan perhimpunan-perhimpunan besar sebelum ini tanpa apa-apa insiden, katanya.

Suara 35 peratus jangan diabaikan

Selain itu dalam perdebatan itu, Khairy juga cuba mewarnakan perhimpunan 10 November sebagai perhimpunan pembangkang dan bukannya perhimpunan rakyat.

"Lupakah Khairy bahawa pemimpin, ahli dan penyokong parti pembangkang adalah rakyat Malaysia juga.Mungkin Khairy lupa bahawa lebih dari 35 peratus rakyat Malaysia mengundi parti selain BN di setiap kali pilihan raya," katanya.

Ujar Dr Lo' Lo, Malaysia mempunyai kapasiti penduduk kira-kira 27 juta orang, justeru 35 peratus dari jumlah itu adalah bersamaan hampir 10 juta orang.

"Kalau dikira 10 juta pengundi bermakna kita bercakap tentang 3.5 juta pengundi.Adakah 10 juta rakyat Malaysia atau 3.5 juta pengundi sewenang-wenangnya dinafikan hak mereka sedangkan mereka juga membayar cukai, tol dan sebagainya," katanya lagi.

Hujah Khairy ini hanya menampakkan mentaliti anti demokrasi pemimpin Pemuda Umno itu yang hanya mengesahkan bahawa beliau buta demokrasi, katanya.

Dr Lo' Lo cabar Khairy dan Abdullah

"Persoalan kebebasan media juga telah diutarakan dalam perbahasan tersebut.Malik menyatakan fakta bahwa media di Malaysia memerlukan permit dari Kerajaan BN untuk diterbitkan atau beroperasi.

"Lantas, Khairy cuba untuk memberikan harapan kepada rakyat Malaysia bahawa kebebasan media akan diberikan kembali kepada pihak media dengan merujuk kepada ucapan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

"Malangnya, akta-akta bersabitan media menunjukkan bahawa hak untuk mengoperasi akhbar atau apa-apa bentuk media di Malaysia terletak di tangan menteri dan tidak boleh dicabar hatta di dalam mahkamah," katanya.

Dalam hal ini, Khairy tidak sedikit pun tidak memberi apa-apa komen terhadap fakta ini, katanya.

Tiada pernyataan jelas samada PM akan meminda akta berkaitan media untuk mengizinkan mana-mana pihak mengoperasikan media, katanya.

Tanpa komitmen ini, kenyataan PM baru-baru ini tidak lebih dari retorik kosong dan 'wayang kulit', apatah lagi dibuat dalam forum yang salah, katanya.

Sekiranya kerajaan yang diterajui Umno/BN benar-benar ikhlas untuk mengembalikan kebebasan media di Malaysia, langkah pertama boleh dimulakan dengan mengizinkan PAS menerbitkan semula Harakah dua kali seminggu, katanya.

Ini tidak memerlukan pindaan akta, cuma sepucuk surat dari Menteri Dalam Negeri sahaja, katanya.

"Saya cabar Khairy dan Umno untuk membuktikan komitmen mereka terhadap kebebasan media. Nazri juga telah dimalukan apabila beliau cuba menafikan akhbar di Malaysia berat sebelah. Malang bagi Nazri apabila akhbar-akhbar yang terbit pada 11 November telah ditunjukkan kepada beliau sebagai bukti," katanya.

SPR alat Umno/BN

Dalam perdebatan itu juga, Khairy cuba memberi gambaran bahawa kerajaan bersedia mendengar pandangan semua pihak, khasnya melalui saluran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau lantas memberikan contoh-contoh beberapa perubahan yang telah dilakukan oleh SPR, namun Khairy sedikit pun tidak menafikan bahawa SPR adalah sebuah badan yang tidak bebas dari pengaruh eksekutif, katanya.

Malang bagi Khairy, tindakan beliau hanya membuktikan bahawa SPR tidak lebih dari sebuah badan kerajaan yang duduk di bawah cengkaman Jabatan Perdana Menteri, katanya.

Ini bererti SPR tidak bebas dan SPR beroperasi seperti yang dikehendaki BN, katanya.

Sehubungan itu beliau melihat, gambaran-gambaran yang diberikan melalui hujah Khairy dan Nazri dalam perdebatan itu hanya mengesahkan bahawa Umno tidak mengenal erti demokrasi yang sebenar, sebaliknya menggunakan pelbagai tindakan untuk menyekat pengaruh parti lain, katanya. - mks.


No comments: