Tuesday, November 20, 2007

Rakyat terjamin di bawah kerajaan BN

MELAKA: Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat berasa lebih terjamin di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana rekod cemerlang yang dibuktikan kerajaan mentadbir negara.

Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata, golongan muda yakin dengan kerajaan BN yang selama ini berjaya menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada mereka hasil pertumbuhan ekonomi negara yang menggalakkan.

Justeru, beliau menganggap dakwaan pembangkang bahawa perhimpunan haram yang diadakan baru-baru ini membuktikan sokongan orang muda terhadap pembangkang meningkat sebagai hanya dakwaan semata-mata.

"Itu biasalah... hanya dakwaan mereka. Orang muda negara ini pun sedar masa depan mereka lebih terjamin di bawah BN.

"Mereka mempunyai cita-cita besar terhadap masa depan negara, terutama jaminan mendapat pekerjaan, jaminan mendapat peluang ekonomi dan sebagainya.

"Jadi, jika itulah harapan mereka, maka hanya BN yang boleh memungkinkan keadaan yang lebih baik akan berlaku," katanya selepas menerima anugerah darjah kebesaran negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.

Sementara itu, Najib turut ditanya mengenai surat yang dihantar Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu kepada tindakan diambil terhadap Presiden PPP, Datuk M Kayveas yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas terhadap partinya.

Beliau berkata, pucuk kepemimpinan BN tidak mahu perbalahan kedua-dua parti itu berterusan dan mahu ia dihentikan segera.

"Saya ada menerima surat daripada kedua-dua pihak. Bagi BN, kita tidak mahu perkara ini berterusan dan mahu ia dihentikan," kata beliau.

No comments: