Tuesday, November 20, 2007

Dilema kedaulatan negara: Pulau Batu Putih vs WPI

Azamin Amin
Tue | Nov 20, 07 | 4:09:04 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Hrkh) - PAS menolak sebarang sikap dan usaha 'telunjuk lurus kelingking berkait' kerajaan dalam isu kedaulatan negara yang dilihat begitu serius mempertahankan Pulau Batu Putih, tetapi sanggup menggadaikan maruah dan kedaulatan dalam isu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata PAS sentiasa menyokong penuh usaha bersungguh-sungguh kerajaan Malaysia untuk mendapatkan hak kedaulatannya ke atas Pulau Putih melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda yang sedang bersidang ketika ini.

"Perkara ini telah lama dibangkitkan oleh PAS dan pernah beberapa usaha dilakukan oleh PAS seperti memacakkan Jalur Gemilang di pulau itu, tetapi dihalang oleh kerajaan," katanya dalam satu siang media di Pejabat Agung PAS pagi tadi.

"Bagi PAS, Pulau Batu Putih adalah hak Malaysia yang mesti dipertahankan, seperti mana hak-hak lain dalam isu hubungan dua hala Malaysia-Singapura.Kerajaan Malaysia tidak boleh bersikap 'double standard' dalam mempertahankan kedaulatan kita terutama isu WPI," katanya.

Katanya selain Pulau Batu Putih,kerajaan mesti menangani segera dan perlu berjaya juga dalam isu yang lain dan tidak harus berdolak-dalik dalam isu Jambatan Bengkok, Kompleks CIQ, pencerobohan udara, tanah KTMB di Tanjung Pagar, wang simpanan pekerja dan juga pencerobohan pulau-pulau di kawasan Pontian merupakan isu kedaulatan negara.

Dalam pada itu, beliau yang sangsi dengan hak kedaulatan negara dalam WPI menjelaskan untuk membangunkan projek tersebut, Malaysia terpaksa 'menjemput' Singapura untuk turut serta dalam Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri dua negara berdaulat untuk memajukan wilayah kita.

"Menteri Singapura seolah-olah ada kuasa atas wilayah kita dan 2,217 km persegi tanah Johor akan 'diurus' bersama dengan Singapura, melalui Jawatankuasa Bersama itu.

"Selain itu kita melihat WPI adalah alternatif kepada kerja-kerja menambak laut untuk meluaskan wilayah Singapura setelah Malayisa dan Indonesia enggan menjual pasir mereka," kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Katanya WPI sebenarnya akan menjadi wilayah Singapura dengan pemilikan hartanah secara besar-besaran dalam jualan 'diskaun 50 peratus' melalui pertukaran mata wang malah CEO UEM Land, Pemaju Nusajaya dalam Channel News Asia telah menyatakan bahawa sebahagian besar hartanah industri dan kediaman di Nusajaya telah dibeli oleh pelabur dan syarikat Singapura.

"Dulu Free Access Zone (FAZ) diwujudkan untuk beri kebebasan kepada orang asing khususnya Singapura untuk menguasai WPI namun setelah FAZ dibatalkan, rakyat Singapura diberi keistimewaan 'smart card' untuk memasuki negara ini secara mudah.

"Sedangkan rakyat Malaysia yang ingin memasuki mana-mana wilayah di Singapura tidak diberi layanan sedemikian tetapi masih perlu mengemukakan passport," katanya yang bimbang akibat kesilapan dan kealpaan kerajaan dalam projek WPI mengakibatkan satu demi satu wilayah tergadai, menyamai situasi Pulau Batu Putih yang menjadi perebutan dua negara.

Dalam sidang media itu Mahfuz turut mengedarkan buletin kecil terbitan Pusat Informasi PAS Johor bertajuk: 'Wilayah Pembangunan Iskandar: Antara Impian & Realiti' kepada para wartawan yang hadir yang mengandungi 32 muka surat, menjelaskan lebih terperinci berhubung isu WPI yang dianggap sebagai satu tindakan Kerajaan menggadaikan kedaultan negara. - mks.


No comments: