Tue | Nov 20, 07 | 3:06:36 pm MYT
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Hrkh) - Pelbagai pihak hari ini mengecam sikap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat beberapa kenyataan kontroversi mengenai pilihan raya umum akan datang selain soal wibawa SPR itu sendiri.
Bermula dengan kenyataan bahawa beliau mengetahui tarikh pilihan raya hinggalah kepada kenyataan bersedia meletak jawatan sekiranya terbukti SPR melakukan penipuan.
Kenyataan pertama Abdul Rashid ini dilihat sebagai mendahului Yang di-Pertuan Agong malah seolah-olah menghina institusi beraja, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.
Katanya, sama ada benar Abdul Rashid mengetahui tarikh pilihan raya atau ada pihak yang sebenarnya telah memaklumkan tarikh itu kepada Abdul Rashid tetapi tidak mahu mengakuinya.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri bertanyakan bagaimana Pengerusi SPR boleh mengetahui tarikh itu.
Bagi Mahfuz, dalam senario ini, rakyat boleh mengetahui siapa yang berbohong mengetahui tarikh pilihan raya dengan meminta kedua-duanya bersumpah mengenai hal tersebut.
Tarik tali antara PM dan Abdul Rashid
Sementara itu mengulas mengenai isu yang sama, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Wan Nik Wan Yussof Ini adalah disebabkan tidak berlaku percanggahan antara keduanya meskipun dilihat senario tersebut seolah-olah wujud permainan tarik tali antara keduanya.
"Puncanya adalah kerana pihak SPR telahpun dimaklumkan secara 'indirect' mengenai jangkaan tarikh pilihan raya, bukan tarikh yang sebenar untuk memudahkan pihaknya membuat persiapan yang sewajarnya dari awal," ujarnya kepada Harakahdaily, menganggap ianya sekadar gimik politik semata-mata.
Sungguhpun begitu, beliau menganggap perkara tersebut sengaja dibuat memandangkan kuasa membubarkan parlimen adalah dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri.
"Oleh itu, Abdullah menggunakan kuasa yang ada untuk menyediakan suasana politik dalam negara yang benar-benar kondusif untuk mengumumkan pembubaran parlimen. Hal ini munasabah, dalam keadaan kerajaan Umno-BN kini sedang berhadapan dengan pelbagai isu besar seperti kes pita Lingam serta perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November lalu," katanya.
"Walaupun anggota kabinet tidak dimaklumkan, tetapi tarikh pilihan raya sudah ada dalam kepada Abdullah," tegasnya dalam nada yakin akan hal yang berlaku.
Jelasnya, apabila situasai negara telahpun tenang ia akan memberikan political mileage kepada Umno-BN untuk menang mudah dalam pilihan raya umum akan datang.
Tambahnya, Rashid akan menamatkan kontrak perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi SPR menjelang akhir tahun ini, sekaligus menjadi hujah kemungkinan pilihan raya ini akan diterajui oleh jentera SPR pimpinannya setelah Abdullah memaklumkan jangkaan tarikh pilihan raya tersebut kepadanya.
"Bagaimanapun, ada yang berpendapat bahawa pilihan raya akan diadakan sebelum Hari Raya Aidiladha dan Krismas ini, tetapi jika ia tetap diteruskan maka 17,000 jemaah haji akan kehilangan hak untuk mengundi," tambahnya.
Rashid perlu letak jawatan
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Abdul Rashid yang bersedia meletak jawatan jika terbukti SPR menipu dipandang serius oleh Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin.
Bagi Badrul Hisham, media melaporkan kenyataan angkuh Abdul Rashid yang menyatakan Pengerusi SPR itu sudah terlibat mengendalikan enam pilihan raya tetapi sehingga kini belum ada pihak yang boleh tampil dengan bukti tentang penipuan dalam pilihan raya kecil atau umum.
Beliau dilaporkan mencabar untuk mana-mana pihak mengemukakan bukti dan beliau sanggup meletakkan jawatan jika bukti berjaya diketengahkan.
"Komen Rashid di media ini ternyata satu usaha terdesak pihak SPR dalam usaha mempertahankan kenyakinan masyarakat Malaysia dan dunia amnya yang semakin hilang kepercayaan terhadap keupayaan SPR menjamin pilihan raya bersih dan adil," ujarnya.
Malangnya usaha ini jelas hanya membuktikan betapa Malaysia mempunyai pengendali pilihan raya yang 'pekak' atau cuba menipu diri sendiri untuk terus menjadi alat regim pemerintah, kata Badrul Hisham.
Begitu banyak bukti sudah dikemukakan dan kemuncaknya ialah apabila penipuan 'perdana' yang dilakukan dalam Pilihan Raya Umum 2004 yang menyaksikan kemenangan terbesar BN dalam sejarah politik tanah air.
KeADILan contohnya telah mengemukakan satu laporan yang dinamakan 'Sham Democracy: A Report on Malaysian Elections' yang membuktikan bagaimana SPR menjadi alat untuk BN terus berkuasa atas nama demokrasi yang dimanipulasi, ujar Badrul Hisham.
Kenyataan ini juga diragukan maksudnya kerana berdasarkan maklumat dalaman SPR menyatakan bahawa Abdul Rashid sedia berhenti atau tidak kontraknya akan tamat 31 Disember ini, ujarnya.
Justeru Abdul Rashid didesak berhenti bermain 'wayang' dan berhenti mengeluarkan kenyataan politik di media.
KeADILan dengan ini mendesak Pengerusi SPR itu lebih memahami tanggungjawab amanah besar yang dipikulnya atau jika lebih minat berpolitik letak jawatan sekarang dan masuk ke gelanggang secara jantan, katanya.
No comments:
Post a Comment