Tuesday, November 20, 2007

Siapa yang disokong Khairy hampir pasti jadi calon BN

Wartawan Khas
Tue | Nov 20, 07 | 12:15:02 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Hrkh) - Sebaik sahaja selesainya Perhimpunan Agung Umno 2007 lalu, semakin ramai ahli Umno yang terus melobi untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum ke-12 akan datang sama ada mahu mempertahankan jawatan sebagai Adun atau Ahli Parlimen mahupun mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Menurut sumber, ada di antara Adun atau Ahli Parlimen yang ada sekarang cuba mendapatkan sebanyak mungkin tandatangan dari para pengundi sebagai tanda sokongan mereka terhadap Adun dan Ahli Parlimen yang sedia ada.

"Ada yang menggunakan taktik menipu pengundi dan tandatangan terhadap sesuatu isu sebaliknya ditukar kepada tanda sokongan mereka terhadap Adun mahupun Ahli Parlimen yang sedia ada tanpa pengetahuan para pengundi," kata sumber tersebut.

Sokongan tanda tangan tersebut tidak diketahui oleh para pengundi untuk kepentingan peribadi yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selain itu, terdapat beberapa orang Adun yang menyerahkan senarai tanda tangan pengundi-pengundi dari kaum India memandangkan mereka menghadapi kesukaran dari pengundi-pengundi Melayu dan Cina.

"Mereka mengambil tanda tangan dari pengundi India di kawasan pedalaman mahupun estet yang dilakukan oleh beberapa orang individu yang dilantik oleh Adun terbabit,"kata sumber ini sambil enggan mendedahkan nama Adun ini.

Selain, mengutip tanda tangan, ada juga beberapa individu di dalam Umno yang menjalin hubungan baik dengan menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin sebagai sokongan mendapatkan calon.

Mereka menyifatkan kedudukan Khairy ini semakin hebat dan harum di kalangan ahli Umno yang berkepentingan terutamanya menjelang pilihan raya umum kelak.

"Siapa yang boleh menjalin hubungan dengan Khiary, 80 peratus mereka boleh menjadi calon,"kata sumber ini walaupun masih dipertikaikan kesahihannya.

Sementara itu, seorang perwakilan dari Sabah memberitahu, semasa Khairy berucap dalam Perhimpunan Agung Umno lalu, Abdullah tidak begitu mengambil perhatian berbanding pada tahun 2005 yang lalu.

"Nampak Abdullah seperti acuh tidak acuh terhadap ucapan Khairy. Tidak seperti pada tahun 2005 lalu ketika pertama kali Naib Ketua Pemuda ini berucap," kata perwakilan ini lagi.

Secara berseloroh dia menganggap kedudukan Khairy mungkin sedikit sukar dari kacamata Abdullah memandangkan Presiden Umno ini sudah mempunyai penasihat yang lebih rapat iaitu isteri barunya, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Sementara beberapa orang awam memberitahu,pada ketika ini majoriti pemimpin Umno tidak begitu memperdulikan nasib rakyat kerana masing-masing mahu menentukan kedudukan sama ada mereka boleh menjadi calon atau tidak.

Seorang pekerja Kilang, Mazni Ngah memberitahu, nasib mereka bukan ditentukan di kalangan pengundi sebaliknya bergantung seratus peratus kepada Abdullah dan Khairy.

"Pengundi dilihat akan memberi sokongan padu kepada calon Umno terutamanya di kawasan Pantai Barat sebab itu mereka sudah terlalu yakin akan menang walaupun perkhidmatnya kurang memuaskan,"kata beliau.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu ceramahnya dahulu turut menyebut, majoriti pengundi Melayu masih rendah kerana mudah terpengaruh dengan kain batik. - mks.


No comments: