Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan HERMAN HAMID
KOTA BHARU 19 Nov. – Pas dan pakatan pembangkang kini bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa walaupun parti itu mendakwa ada usaha untuk memastikan pembangkang berada dalam keadaan agak lemah.
Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, soal agihan kerusi bagi memastikan peluang kemenangan lebih baik kini sudah mencapai tahap 95 peratus manakala manifesto akan dimuktamadkan esok sebelum dicetak.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan butiran terperinci mengenai agihan kerusi dan sama ada manifesto itu akan digunakan untuk semua negeri atau akan ada manifesto berasingan bagi negeri tertentu.
Namun, Husam menafikan pembangkang kini terdesak dan cuba mengheret institusi raja bagi membolehkan pilihan raya lebih awal diadakan dengan penglibatan bersama lebih 60 pertubuhan dalam perhimpunan baru-baru ini.
‘‘Ini bukan soal mahu pilihan raya awal atau lambat. Di negara lain seperti Bangladesh, kerajaan tetapkan atau umumkan tarikh beberapa bulan lebih awal.
‘‘Dengan sendirinya semua pihak dapat bersiap dan tidak teragak-agak menghadapi pilihan raya,” ujar beliau.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-11 di Kota Darulnaim di sini hari ini yang disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.
Husam menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa pembangkang kini dalam keadaan terdesak untuk menghadapi pilihan raya umum dengan sanggup mengaitkan institusi beraja dalam perhimpunan haram.
Perdana Menteri dilapor berkata, melalui cara itu, pembangkang berharap pilihan raya umum dipercepatkan sedangkan yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sendiri menegaskan baginda tidak memberikan perkenan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu.
Menurut Husam, terserah kepada kerajaan sama ada mahu melaksanakan pilihan raya lebih awal atau tidak kerana ia terpaksa juga dilalui oleh parti-parti pembangkang.
Katanya, usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyerahkan memorandum adalah untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong dengan kedudukannya dalam perlembagaan negara, mendengar rungutan rakyat.
‘‘Seperti imam, kalau suami isteri bergaduh, beliau dirujuk untuk mendengar masalah berbangkit. Tak bolehlah dikatakan kita nak heret imam dalam pergeseran rumah tangga,” ujarnya.
Beliau percaya, ‘teori pendulum’ akan memihak kepada pembangkang dalam pilihan raya kali ini dengan merujuk kepada contoh pilihan raya umum 1964 ketika parti kerajaan menang besar tetapi merudum dalam pilihan raya umum 1969.
‘‘Selepas menang besar, kerajaan dalam keadaan agak selesa sehingga masalah rakyat terabai. Apa yang dilakukan lebih banyak bercakap dan ciri-ciri itu hampir ada sekarang,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment