Tue | Nov 20, 07 | 6:13:44 am MYT
KOTA BHARU, 20 Nov (Hrkh) - Kerajaan Pusat diingatkan supaya menjalankan segera aktiviti pendaratan minyak dan gas yang ada di pesisiran pantai di negeri ini sebagaimana yang digesa oleh Sultan Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa memberitahu, kerajaan Kelantan sejak sekian lama berharap supaya pendaratan gas dapat digabungkan di negeri ini, tetapi ianya diabaikan begitu sahaja.
"Tetapi sekiranya tuanku sendiri yang sebut berhubung perkara itu, di harap Kerajaan Pusat dapat membuka mata dan mempertimbangkan cadangan itu,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembukaan rasmi Persidangan Dun Kelantan Yang ke-3 (Belanjawan) bagi tempoh penggal yang keempat pagi tadi.
Menyentuh tentang titah baginda sewaktu merasmikan pembukaan persidangan kali ini, Husam mendakwa pada keseluruhannya ucapan Sultan Kelantan amat baik dan kerajaan negeri berhasrat untuk meningkatkan prestasi kecemerlangan pentadbiran sebagaimana yang disarankan baginda.
Jelas Husam lagi, setiap tahun sultan akan memberi saranan baginda supaya mempertingkatkan pencapaian kerajaan negeri khususnya bagi memajukan ekonomi.
Tambahnya, kritikan itu akan dijadikan semangat untuk memajukan pentadbiran kerajaan negeri, khususnya dalam menambahkan pendapatan ekonomi negeri dan rakyat.
Beliau seterusnya memberitahu, dalam titah itu juga baginda turut mengkritik di samping memuji kerajaan Kelantan yang telah berjaya meningkatkan tahap ekonomi khususnya melalui peluang perniagaan menerusi pembinaan pusat-pusat perniagaan.
Dalam masa yang sama baginda juga turut menghulurkan cadangan-cadangan yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat untuk faedah negeri dan rakyat Kelantan.
"Sebagai contohnya pendaratan gas dan juga pembayaran royalti dan minyak yang telah dikeluarkan di perairan Kelantan.
"Perkara ini banyak memberi manfaat kepada negeri khususnya rakyat Kelantan, dengan itu saya mewakili kerajaan negeri junjung kasih kepada baginda kerana dapat membangkitkan perkara itu secara bijaksana dan saya yakin ianya akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Pusat suatu masa nanti,"ujarnya lagi. - mks.
No comments:
Post a Comment