Tuesday, November 20, 2007

Saman fitnah Mahfuz didengar di Mahkamah Tinggi

Ahmad Tajdid
Tue | Nov 20, 07 | 5:17:18 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Sivil, Jalan Duta, dekat sini dalam perbicaraan saman fitnah beliau terhadap Dato Ahmad Rejal Arbee dan NSTP Press Berhad, semalam.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Yazid Mustafa.

Mahfuz diwakili Mohamed Hanipa Maidin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Guaman PAS manakala Rejal dan NSTP diwakili peguam Nad Segaram.

Saman fitnah Mahfuz itu dibuat ekoran laporan muka hadapan akhbar Berita Harian, 9 November 2000 bertajuk "Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk".

Insiden itu berlaku ketika Mahfuz yang pada ketika itu Ahli Parlimen Pokok Sena sedang membentangkan usul tergempar di Dewan Rakyat berhubung keganasan polis dalam menyuraikan himpunan rakyat di Lebuh Raya Kesas berhampiran Jalan Kebun, Klang.

"Berita Harian melaporkan Mahfuz mengajak Ahli Parlimen Tampin, Dato' Shaziman Abu Mansor untuk bertumbuk di luar Dewan sedangkan beliau sebenarnya hanya menjawab cabaran Shaziman.

"Insiden itu direkodkan di dalam handsard Parlimen dan bukti menunjukkan Shaziman yang memulakan cabaran dan beliau kemudian ditenangkan oleh seorang penyokong kerajaan," jelas Hanipa kepada Harakah.

Saksi defendan iaitu seorang pemberita Berita Harian dan Shaziman yang kini Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi dijangka memberi keterangan esok. /tajdid


No comments: