Thursday, November 22, 2007

Pengagihan kerusi hampir selesai - Husam

Rizal Tahir
Thu | Nov 22, 07 | 6:33:17 am MYT

KOTA BHARU, 22 Nov (Hrkh) - Pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 di semua negeri sudah mencapai 95 peratus.

Pengagihan kerusi di semua negeri-negeri hampir selesai, kecuali hanya beberapa buah negeri sahaja yang masih dalam proses akhir.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, ketika ditemui selepas majlis perasmian Pembukaan Rasmi Persidangan Dun Kelantan Kali Ketiga (Belanjawan) semalam, memberitahu antara negeri yang masih belum selesai ialah Kelantan.

Bagaimanapun, menurut Husam lagi perkara itu akan dapat diselesaikan dengan segera dalam tempoh terdekat ini.

"Kita yakin, insya-Allah pengagihan kerusi akan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat ini," ujarnya ketika ditemui.

Negeri-negeri lain, menurutnya seperti Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan, Selangor semuanya sudah selesai.

Tambah Husam lagi, secara keseluruhannya PAS sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum sama ada pengagihan kerusi atau manifesto pilihan raya, terutama di peringkat negeri.

Sambungnya, manifesto juga hampir siap di mana hari Selasa merupakan hari terakhir untuk tujuan itu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, seterusnya memberitahu, sebagai sebuah parti yang bergabung dalam pakatan Barisan Alternatif (BA), pihaknya tidak bersendirian menghuraikan intipati dalam manifesto itu.

Sehubungan itu, Husam turut menafikan dakwaan yang mengatakan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menang besar dalam pilihan raya kali ini.

Jelasnya, parti itu telah mendakwa mereka akan menang pada pilihan raya umum 1995, bagaimanapun nasib malang telah menimpa parti mereka.

"Tidak munasabahlah sebuah parti dan kerajaan yang kucar-kacir, akan menaikkan harga minyak yang tinggi pula dalam waktu terdekat ini akan menang dalam pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.

Jelasnya lagi, beliau telah mengikuti senario pilihan raya sejak tahun 1964, di mana Umno menang besar ketika itu, kemudian jatuh teruk dalam pilihan raya 1969.

Jelasnya, kekalahan itu dikatakan berpunca dari Perdana Menteri ketika itu ke luar negara dalam keadaan gembira yang partinya akan menang besar.

"Jadi, ciri-ciri pada ketika itu hampir sama waktu ini, cakap memang hebatlah lancar itu, lancar ini, tapi buatnya tidak," ujar Husam lagi.

Husam menambah lagi, pilihan raya umum sama ada ianya diadakan awal atau sebaliknya bukan menjadi isu utama untuk pembangkang.

Katanya, pembangkang akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

"Bagaimanapun kerajaan tidak seharusnya merahsiakan tarikh pilihan raya umum yang bakal diadakan.

"Negara luar mengamalkan amalan demokrasi di mana kerajaan menetap satu tarikh awal sebelum pilihan raya diadakan," ujarnya.

Dengan sendirinya semua pihak tidak akan teragak-agak untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

"Kalau di Bangladesh dia umumkan sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal untuk tarikh sebenar pilihan raya, jadi dia lebih teluslah.

"Bukan gunakan tarikh pilihan raya tersebut untuk kepentingan sendiri serta dalam masa yang sama akan memerangkap pembangkang," ujarnya lagi.

Menurut Husam lagi, untuk melaksanakan pilihan raya sama ada lambat atau sebaliknya bukan suatu masalah, sebaliknya harus dinyatakan tarikh sebenar bila ianya akan diadakan secara jelas. - mks.


No comments: