Thursday, November 22, 2007

Megat Junid sudah boleh bercakap

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, 65, yang dilaporkan kritikal di Pusat Perubatan Pantai (PMC) di sini semalam, kini sudah sedar dan stabil.

Beliau yang dimasukkan ke PMC sejak malam kelmarin juga sudah boleh bercakap.

Pengurus Perhubungan Pesakit PMC, Shusheel Kaur berkata, keadaan Megat Junid telah beransur pulih dan menunjukkan perkembangan positif.

Bagaimanapun, katanya, beliau masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.

‘‘Keadaannya amat baik dan memberangsangkan. Beliau sudah boleh menerima tetamu dan berkomunikasi seperti biasa.

‘‘Beliau dijangka boleh dipindah keluar dari ICU ke wad biasa dalam tempoh terdekat ini,’’ katanya ketika ditemui di PMC di Bukit Pantai di sini, hari ini.

Antara orang kenamaan yang turut meluangkan masa melawat Megat Junid di PMC ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Semalam, Megat Junid dilaporkan koma selepas menjalani pembedahan dan ditempatkan di ICU pada kira-kira pukul 2.30 petang.

Pembedahan itu dijalankan untuk mengeluarkan darah beku dari dalam perut beliau berikutan berlaku pendarahan dalaman.

Sebelum ini, beliau pernah menjalani rawatan membuang ketumbuhan pada kelenjar prostat di Singapura pada 2004.

No comments: