Thu | Nov 22, 07 | 2:47:45 am MYT
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Usaha menyedarkan masyarakat tentang Nationwide Urgent Response Information Network (Nurin) Alert semakin meluas apabila sebuah majalah yang dijangka mendapat sambutan hangat, Tell, menyiarkan beberapa pendedahan mengenai inisiatif terpuji itu.
Nurin Alert ialah inisiatif yang digerakkan oleh beberapa insan prihatin sejak tragedi menyedihkan menimpa Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang telah diculik, dikatakan diperkosa dan dibunuh dengan kejam.
Sehingga ke hari ini, penjenayah ganas yang bertanggungjawab ke atas kekejaman itu masih belum dapat diberkas walaupun pihak polis berusaha mendapatkan kerjasama Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).
Orang yang pertama yang mencadangkan badan seperti Amber Alert (America's Missing: Broadcast Emergency Response) di Amerika itu ialah Pengarang Kumpulan Tell sendiri, Nuraina Abdul Samad. Bekas editor politik New Straits Times (NST) itu juga adalah salah seorang blogger yang berpengaruh di negara ini.
Nurin Alert ialah sistem hebahan awal untuk menyedarkan masyarakat bersama-sama membantu mencari kanak-kanak yang diculik melalui kerjasama pihak polis, media dan orang ramai.
Untuk memastikan kejayaannya, Nuraina malah menulis email kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil mengenai inisiatif itu.
Kemudian, bekas editor eksekutif The Malay Mail, Ahirudin Attan tampil dengan ideanya mengenai Amber Alert versi Malaysia, Nurin Alert. Ahirudin kini adalah kolumnis dan strategis media yang juga mengendalikan blognya sendiri, Rocky's Bru, yang pernah diiktiraf sebagai salah satu dari 50 blog yang paling popular di negara ini.
Oktober lalu, Nurin Alert mendapat liputan dalam rancangan Wanita Hari Ini terbitan TV3 di mana Nuraina bersama-sama bapa saudara Nurin, Jasni Abdul Jalil dan perunding keselamatan Kamal Effendi Hashim memberikan gambaran sebenar tentang Nurin Alert.
No comments:
Post a Comment