Thu | Nov 22, 07 | 11:30:54 am MYT
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) tetap menuntut supaya tempoh kempen dalam pilihanraya umum akan datang diperuntukkan sekurang-kurangnya 21 hari.
Dalam kenyataannya, Bersih juga mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar bersikap profesional dan konsisten dalam menangani hal tersebut.
Terdahulu dalam satu sidang akhbar sebelum ini, Rashid dilaporkan berkata tempoh kempen mungkin lebih pendek sekiranya sesetengah parti terus membuat 'huru-hara' bahkan membawa isu tersebut ke jalanan.
Bersih amat kesal kerana Rashid memilih untuk tidak mengendahkan desakan bagi membuat perubahan dalam pilihanraya seperti yang dituntut dalam memorandum yang dihantar semasa Perhimpunan Aman Rakyat 10 November lalu.
Sebaliknya, kata Bersih, beliau bertindak "mengugut" pihak pembangkang dan rakyat amnya dengan mengisytiharkan bahawa beliau akan menjadikan tempoh pilihanraya umum akan datang sebagai yang terpendek dalam sejarah Malaysia.
"Atau tindakan Tan Sri Rashid itu hanya mahu mengampu kerajaan supaya Perlembagaan dipinda untuk meningkatkan had umur persaraan anggota SPR dari 65 tahun kepada 66 tahun.
"Ia akan membolehkan Tan Sri Rashid berkhidmat setahun lagi dan sekaligus dapat mengendalikan satu lagi pilihanraya umum," demikian kenyataan Bersih tersebut.
Sehubungan itu, Bersih menegaskan bahawa Rashid perlu membuat penjelasan kepada rakyat Malaysia berhubung perkara tersebut.
Menurut Bersih, kebanyakan negara demokrasi menyediakan tempoh berkempen yang mencukupi untuk calon-calon menemui para pengundi dan sebaliknya.
"Malangnya, dalam kes Malaysia, keadaannya semakin berkurangan dan mundur. Pilihanraya persekutuan yang pertama di Malaya pada tahun 1955 menyediakan tempoh berkempen selama 42 hari," katanya.
"Dalam tiga pilihanraya berikutnya selepas Merdeka (1959, 1964 dan 1969) tempoh berkempen adalah lima minggu atau kira-kira 35 hari.
"Tempoh kempen bagi empat pilihanraya berikutnya (1986, 1990, 1995 dan 1999) sewaktu pentabiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sama ada sembilan atau 10 hari. Pilihanraya umum 2004 pula menyaksikan tempoh berkempen paling pendek - tujuh hari setengah," tegas Bersih.
Oleh itu, Bersih mendesak supaya tempoh kempen bagi pilihanraya umum akan datang diperuntukan selama 21 hari, iaitu separuh daripada tempoh kempen dalam pilihanraya 1955.
Tempoh tersebut, jelas Bersih, akan memberi masa kepada para pengundi untuk mengenali calon-calon mereka dan mesej yang diperjuangkan oleh mereka.
"Ini amat penting memandangkan media arus perdana bersikap berat sebelah dalam laporannya. Tempoh kempen yang panjang akan membantu menyediakan padang permainan yang sama rata serta membolehkan rakyat menilai calon-calon secara yang lebih teliti," menurut kenyataan itu. - mr
No comments:
Post a Comment