Thu | Nov 22, 07 | 12:21:06 pm MYT
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Universiti Putra Malaysia (UPM) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam kes penganiayaan mahasiswa tahun dua, Lee Song Yong yang didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 atas tuduhan enggan memberikan kerjasama kepada Pegawai Keselamatan.
Bagaimanapun UPM tidak mengendahkan permintaan Suhakam (semalam) yang meminta sebarang prosiding kes diteruskan sementara siasatan dijalankan badan itu.
UPM meneruskan prosiding kes jam 10 pagi tadi.
Semalam, Pesuruhjaya Suhakam, Prof Emeritus Dato' Dr Khoo Kay Kim memberitahu Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang melaporkan kes terbabit, untuk menghentikan sementara prosiding kes tersebut yang sepatutnya dijalankan pada hari ini.
Ia bertujuan untuk membolehkan penyiasatan dibuat dengan teliti mengenai aduan yang diterima supaya tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang terbabit.
Menurut sumber, setakat ini pihak Suhakam telah berbincang untuk meneliti tindakan selanjutnya, memandangkan kes yang sama pernah berlaku sebelum ini di kampus yang sama.
Sementara itu, beberapa front mahasiswa iaitu, SMM, Mpower, gabungan Anak Muda dan pelajar dan Dema mengadakan perhimpunan di depan pintu masuk kampus berkenaan akibat tidak dibenarkan masuk memberikan sokongan kepada Lee.
Bahkan wakil media juga tidak dibenarkan masuk bagi membuat liputan kes tersebut oleh pegawai keselamatan UPM, menyebabkan mereka terpaksa berdiri di tepi pintu masuk utama kampus.
Lee ditemani seorang mahasiswa tahun tiga, Simon Ooi menghadiri prosiding tersebut di samping mengemukakan seorang saksi, Loke Qiu Qi yang turut berada di tempat kejadian pada 22 Ogos lalu. - mr
No comments:
Post a Comment