Thursday, November 22, 2007

Wakil BN pulau sidang DUN Kelantan

Oleh AZRAN FITRI RAHIM


Semua Adun BN meninggalkan Dewan Undangan Negeri bagi membantah keputusan Speaker, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah yang mengarahkan Nozula Mat Diah keluar Dewan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 21 Nov. – Semua anggota pembangkang bertindak meninggalkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika sesi petang perbahasan hari ini setelah keanggotaan Nozula Mat Diah (BN-Paloh) digantung ekoran keengganannya mematuhi arahan Speaker, Datuk Wan Abd. Rahim Wan Abdullah.

Nozula berkeras untuk turut serta dalam perbahasan walaupun Wan Abd. Rahim berulang kali mengarahkannya duduk kerana belum sampai gilirannya berbuat demikian.

Ia bermula apabila Nozula bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan tetapi sebaliknya Wan Abd. Rahim meminta seorang lagi wakil pembangkang, Mohd. Zain Ismail (BN-Bukit Tuku) untuk berucap.

Bagaimanapun, Mat Zain tidak bangun dan Norzula mahu mengambil laluan itu sehingga berlaku pertikaman lidah di antara Nozulah dan Wan Abd. Rahim.

Nozula berkata, beliau telah bangun lima kali untuk berucap membahaskan usul Ucapan Menjunjung Kasih Atas Titah Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

“Saya perlu berucap untuk memberitahu masalah yang dihadapi oleh penduduk kawasan saya yang jauh di pedalaman Gua Musang... sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah mengambil tahu apa yang terjadi,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Abd. Rahim berkata, beliau hanya akan memberikan peluang kepada Nozula semasa perbahasan rang undang-undang perbekalan.

“Sebelum ini saya telah meminta kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) supaya memberikan nama mereka yang nak ambil bahagian dalam perbahasan,” katanya.

Nozula lantas bangun mencelah dan berkata, beliau telah memberikan nama dan berada pada giliran kedua dalam senarai berkenaan.

Wan Abd. Rahim tetap bertegas tidak membenarkan Nozula berucap dan terus meminta seorang pencadang serta penyokong bagi mengikut peraturan 51 (3) serta membuat undian.

Seorang lagi anggota pembangkang, Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) bangun meminta Speaker melupakan kejadian itu kerana Speaker sendiri telah melakukan kesilapan sebelum ini dan jika tidak boleh berunding, mereka akan keluar Dewan.

Selepas itu, melalui usul yang dikemukakan oleh Zakaria Yaakob (Pas-Kemuning) dan disokong oleh Mohd. Shukri Abdul Rahman (Pas-Kadok), sidang mengundi dan mengambil keputusan menggantung Nozula apabila 23 bersetuju manakala 20 tidak bersetuju.

Ketika ditemui di luar Dewan, Nozula berkata, beliau hairan kenapa beliau tidak dibenarkan berucap sedangkan peraturan dengan jelas memberikan ruang untuk sesiapa saja berucap.

“Saya berasa amat terkilan kerana Speaker menggantung saya daripada mesyuarat... sebenarnya dah lima kali saya bangun untuk berucap tetapi dia jemput mereka yang tidak mahu berucap.

“Sekiranya diberi peluang tadi saya mahu mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai ‘ladang rakyat’ yang menipu belia dengan memanggil mereka untuk temu duga dan dijanjikan tempat tinggal untuk majukan ladang tersebut tetapi semuanya tidak ada,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Abd. Rahim ketika ditemui tetap mempertahankan keputusannya.

“Beliau (Nozula) telah melanggar peraturan di bawah peruntukan perintah 51 (3) bahawa seseorang ADUN yang dipanggil nama oleh Speaker selepas daripada melakukan kesalahan tidak mengendahkan arahan Speaker dan berulang mengganggu perjalanan Dewan, maka satu cadangan dengan segera dan disokong oleh 2 orang ahli dikemukakan dalam undian.

“Bagaimanapun, beliau boleh kembali menyertai semula mesyuarat esok mengikut peruntukan 51 (5) iaitu jika keahlian seseorang tergantung menurut syarat perintah ia hendaklah mengundurkan diri dan penggantungan tidak lucut sehingga tamat mesyuarat itu,” katanya.

Sementara itu, Adhan Kechik berkata, tindakan Wan Abd. Rahim itu tidak adil dan mengabaikan peraturan Dewan.

“Memang senarai nama diambil tetapi itu hanya sebagai satu panduan untuk menjaga masa dan bukan termaktub dalam peraturan,” katanya.

No comments: