Thursday, November 22, 2007

Jawatankuasa Tatatertib UPM dapati Lee Song Yong bersalah dan digantung semester

Intan Abdullah
Thu | Nov 22, 07 | 3:40:56 pm MYT

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Mahasiswa tahun kedua kursus Bacelor Sains Komputer Universiti Putra Malaysia, Lee Song Yong telah disabitkan bersalah oleh pihak berkuasa Tatatertib Pelajar dan didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 kerana enggan memberikan kerjasama dalam pemeriksaan keselamatan UPM dan mempertikaikan tugas Pengawal Keselamatan serta menghalangnya daripada menjalankan tugas, kewajipan dan fungsinya

Menurut wakil SMM, Ng Yong Jin, dalam prosiding yang berjalan selama dua hari itu, Lee telah didapati bersalah dan digantung pengajiannya selama satu semester serta amaran untuk tidak mengulanginya lagi.

Walaupun begitu, keputusan tersebut menurutnya adalah bersifat berat sebelah kerana Lee adalah pihak yang teraniaya oleh kekasaran yang telah dibuat oleh pihak keselamatan UPM.

"Lee telah teraniaya dan tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya, sedangkan beliau hanyalah seorang mahasiswa biasa," kata Ng ketika dihubungi Harakahdaily.

Pihak Berkuasa Tatatertib pelajar UPM telahpun menjalankan prosiding kes tersebut bermula 19 November lalu dan berakhir petang ini.

Perkara tersebut telah mendapat perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang telah ditolak permohonannya untuk menghentikan sementara prosiding tersebut supaya Suhakam dapat menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan yang telah diterima oleh SMM dua hari yang lalu.

Walaupun, pihak pentadbiran UPM masih mahu menghulurkan kerjasama kepada Suhakam untuk memberikan maklumat mengenai perlembagaan universiti tersebut, ia sudah terlambat kepada pihak Suhakam memandangkan keputusan telahpun dibuat.

Harakahdaily difahamkan bahawa sewaktu prosiding kes tersebut berjalan, pihak Suhakam telah cuba untuk masuk bagi menjalankan pemantauan, malangnya ia telah dihalang oleh panel prosiding yang diketuai Dr Tai Shzee Yew.

Walau bagaimanapun, Suhakam tetap akan mengikuti perkembangan dan akan meneruskan siasatan untuk memastikan kes ini akan berjalan mengikut prosedur yang sepatutnya.

Menurut Ng, SMM selepas ini akan membuat rayuan kes ini kepada Kementerian Pengajian Tinggi, dan sekiranya ia masih tidak dapat diselesaikan mereka akan memajukannya kepada mahkamah.

Ini adalah disebabkan pihak berkuasa Tatatertib Pelajar UPM tidak mahu mengambil kira bukti dan saksi yang dikemukakan oleh Lee atas alasan ia adalah perkara yang berbeza daripada kes yang sedang dibicarakan.

Pada 22 Ogos 2007 lalu, Lee ditahan oleh pengawal keselamatan UPM yang berpakaian seragam di pondok pengawal Anjung Putra dalam perjalanan untuk keluar daripada pintu masuk utama kampus berkenaan.

Pengawal tersebut meminta untuk memeriksa beg Lee. Namun apabila Lee memohon penjelasan daripada pengawal tersebut, beliau gagal mengemukakan alasan yang jelas.

Kemudian, tiga lelaki yang tidak berpakaian seragam keselamatan tiba di tempat kejadian meminta Lee menunjukkan kad matrik beliau, sebaik dikemukakan mereka bertindak merampasnya serta merta.

Beg milik beliau juga dirampas oleh beliau dengan menarik secara kasar, manakala seorang daripada tiga lelaki tersebut menyekat pergerakan Lee.

Apabila beliau meminta kembali beg tersebut, beliau telah dimaki dengan kata-kata kesat. Pada akhir sesi pemeriksaan tersebut, lelaki tersebut hanya mengambil buku catatan dan kad matrik Lee kemudian beredar.

Lee juga telah membuat satu laporan di balai polis Sri Serdang mengenai kejadian tersebut. Pihak polis juga mengesahkan bahawa tiga lelaki terbabit adalah pegawai Unit Tindakan Khas, di samping mengarahkan Lee mendapatkan semula barang rampasan daripada Bahagian Keselamatan UPM.

Pada 14 November, Lee menerima notis kehadiran prosiding bertarikh 19 November yang dilampirkan salinan terjemahan dari buku catatan peribadi beliau.

Beliau yang diiringi oleh peguamnya, Sunil Lopez serta wakil sekretariat Suara Rakyat Malaysia, Arutchelvan mengemukakan permohonan penangguhan prosiding kepada ketua pihak penguatkuasa tatatertib Prof Dr Tai Shzee Yew.

Permohonan tersebut ditolak, begitu juga peguam tidak dibenarkan hadir bersamanya sewaktu prosiding dijalankan.

Pada 19 November, terpaksa hadir prosiding tersebut seorang diri tanpa sebarang bantuan daripada sebarang pihak. Prosiding tersebut telah ditangguhkan pada 22 November jam 9.30 pagi.

Kes Lee kini telah mendapat perhatian Suhakam yang berjanji untuk meneliti aduan yang dikemukakan oleh SMM semalam. - mns


No comments: