Thursday, November 22, 2007

Sah SPR tidak telus, Rashid mesti letak jawatan!

Azamin Amin
Thu | Nov 22, 07 | 9:49:07 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh)- Tanpa sebarang 'main wayang', Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mesti meletakkan jawatan berikutan terdapat bukti bahawa SPR tidak telus dalam menjalankan tanggungjawab dan amanahnya.

Perkara ini telah terbukti pada 2001,apabila mahkamah melalui Hakim Dato' Muhammad Kamil Awang membatalkan keputusan pilihan raya DUN Likas, Sabah atas alasan senarai pemilih 1998 bagi kawasan berkenaan tidak mengikut undang-undang di mana pengundi-pengundi hantu, termasuk yang bukan warganegara, telah secara bukti dibenarkan membuang undi pada hari pengundian.

Demikian menurut kenyataan media Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mengulas 'kesanggupan' Rashid berundur sekiranya terbukti SPR melakukan penipuan dalam pilihan raya sebelum ini termasuk kenyataan Perdana Menteri bahawa sistem pilihan raya Malaysia telah dijalankan dengan adil dan bersih tanpa campur tangan parti pemerintah sejak sekian lama.

"AMK begitu berharap agar kedua mereka ini kembali berpijak di bumi yang nyata sebelum mengeluarkan kenyataan yang bersifat 'ibarat meludah ke langit'," katanya.

"AMK mengingatkan Rashid dan Abdullah bahawa konotasi kepada sistem pilihan raya yang kotor dan berat sebelah membawa kepada kuasa pemerintahan yang tidak sah.

Beliau menjelaskan bahawa dalam penghakiman Hakim Muhammad Kamil berkata, SPR gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam mengesahkan dan menggazet senarai pemilih yang mencurigakan, di samping banyak laporan yang dibuat terhadap kepincangan SPR serta pihak kerajaan bagi menjalankan siasatan terhadap wujudnya orang yang tidak mempunyai kewarganegaraan dalam senarai pemilih.

Lebih menarik kata Shamsul, selepas penghakiman Likas itu dibuat, kerajaan dengan kebenaran SPR membuat pindaan di mana senarai pemilih; sebaik sahaja disahkan atau disahkan semula dianggap muktamad dan diterima dan tidak boleh dipersoalkan atau membuat rayuan atau dinilai semula, dipinggirkan oleh mana-mana mahkamah.

"Kes ini, meskipun hanya sebuah kes, tetapi ianya memberikan satu signifikan besar dalam sebarang dakwaan yang dibuat ke atas SPR yang jelas tidak telus dan saksama dalam menguruskan sistem pilihan raya Malaysia," katanya.

"Justeru, AMK melihat wajar bagi bukan sahaja Rashid, malahan Abdullah sendiri bertanggungjawab atas kenyataan yang dibuat mereka, dengan berundur demi memberi ruang kepada pembaikpulihan sistem pilihan raya dan kerajaan yang telus dan berwibawa," katanya lagi. - mks.


No comments: