Thu | Nov 22, 07 | 9:50:56 am MYT
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Para pemimpin Umno dibidas kerana mempunyai pemikiran yang 'lembap' dalam melaksanakan pelbagai dasar negara yang akhirnya merugikan dan membazirkan wang rakyat jelata.
Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata kebanyakan pemimpin Umno mempunyai pemikiran yang lambat dan enam tahun terkebelakang dan terbukti setelah gagal mencapai matlamat kini mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ingin ditukar kembali ke bahasa Melayu.
"Setelah bazirkan hampir RM5 bilion dan gagal, baru sibuk nak kembali ke bahasa Melayu.Kita sokong cadangan ini cuma kita kesal sebab sudah banyak pihak dan pembangkang dari awal lagi menentang pelaksanaan ini tetapi Umno degil akhirnya setelah enam tahun nak kembali kepada asal," katanya di satu sidang media di Pejabat Agung PAS baru-baru ini.
Angka RM5 bilion itu katanya telah diperuntukkan untuk enam tahun bagi tujuan mengajar bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik termasuklah membeli kelengkapan alat mengajar, menyediakan buku-buku teks, memberi kursus dan insentif kepada para guru.
"Yang lucunya beberapa pemimpin Umno yang sokong cadangan kembali ke bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Umno adalah juga yang berucap berapi-api menyokong Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris satu ketika dulu," katanya.
Sikap memartabatkan bahasa Melayu ini begitu disanjung tinggi namun katanya ini secara tidak langsung melambang sikap 'hipokrit' para pemimpin Umno yang suka berdolak-dalik yang akhirnya 'merosakkan' masa depan generasi muda khususnya orang Melayu yang ketinggalan dari sudut pendidikan bahkan dari segi ekonomi.
"Kita dah tegur dan bagi cadangan lama dah... tapi sebab pemikiran Umno ini agak lambat dan lembap menyebabkan banyak wang rakyat telah dibazirkan termasuk menyebabkan pelbagai dasar negara menjadi pincang," katanya
Beliau juga turut memberi contoh bagaimana kerajaan BN khususnya Umno bertindak begitu lambat dan lemah dalam menangani isu badan kehakiman negara yang telah menghilangkan kepercayaan rakyat jelata terhadap intergritinya.
Katanya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi lambat dalam menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kesahihan klip video yang menunjukkan perbualan telefon seorang peguam mengenai pelantikan hakim.
Sedangkan katanya suruhanjaya sepatutnya ditubuhkan setelah disaran banyak pihak dan sebaik sahaja kes tersebut tercetus pada September lalu menyebabkan penubuhan panel bebas menjadi sia-sia serta membuang masa dan membazirkan wang.
"PAS dan parti politik pembangkang lain, serta Majlis Peguam, sudah berulangkali mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja, sebaliknya Abdullah lebih berminat dengan panel bebas.
"Kita tidak setuju kerana panel bebas tiada kuasa. Kini terbukti panel bebas tidak boleh menyelesaikan isu tersebut," katanya
Mahfuz berkata, kini desakan pihak pembangkang, NGO dan Majlis Peguam supaya menubuhkan Suruhanjaya Diraja kerana ia boleh menyelesaikan isu klip video Lingam, terbukti benar.
"Kalau ia ditubuhkan sejak awal-awal lagi, mungkin kita sudah tahu hasilnya hari ini," katanya lagi. - mks.
No comments:
Post a Comment