Thu | Nov 22, 07 | 12:16:20 pm MYT
Masih terpahat di ingatan kita darihal ungkapan keramat Presiden Umno di dalam Perhimpunan Agung kali ke-58 lalu: "Saya pantang dicabar!" Ungkapan ini ditujukan kepada kumpulan Bersih yang mengecewakan Abdullah sepanjang pemerintahannya mutakhir ini.
Mulanya, Abdullah berkata bukan dirinya yang dicabar Bersih. Hakikatnya yang dicabar itu adalah undang-undang negara itu sendiri. Pulak dah?
"Mereka sebenarnya bukan mencabar saya, tetapi apa yang mereka cabar adalah undang-undang!" demikian tegasnya secara berbelit-belit.
Lafaz ungkapan dan ucapan ahli Umno melambangkan corak pemikiran Umno itu sendiri. Tatkala sang Presiden berkata demikian, denyut nalurinya seolah-olah ingin menyampaikan kata-kata ini: "Sebenarnya, akulah undang-undang dan undang-undang itu adalah aku!"
Ertinya, mencabar undang-undang negara itu sama ertinya dengan mencabar Abdullah menurut perhitungan tersiratnya dalam realiti politik kita hari ini. Cuma, apa yang berlaku di dalam ucapan penggulungan itu, ialah samada beliau berbolak-balik secara sedar lalu menyatakan perundangan adalah perundangan, Abdullah tetap Abdullah. Abdullah dan perundangan - entiti yang berbeza.
Atau ketika berucap itu Abdullah melafazkannya dalam keadaan beliau tidak peka makna sebenar yang terkandung di sebalik istilah undang-undang lalu terbabas menyatakan bahawa beliau itulah undang-undang dan undang-undang itu dirinya sendiri. Sifat ini sebenarnya mewakili sifat Tuhan.
Allah membuat undang-undang tanpa keputusan syura, tanpa mesyuarat bersama para malaikat. Atau, dalam kata lain - Allah tidak pernah 'mengundang' sesiapa pun untuk membentuk undang-undang dan hukum alam ini. Sebab itu, fitrah, nature, hukum alam, sunnatullah, masa selalunya digambarkan dalam nas-nas dan dalil naqli sebagai mewakili sesuatu daripada Tuhan itu sendiri.
Sebab itulah Allah menyeru: "Wa amruhum syura bainahum" - Lafaz pengertian di sini ialah suatu keputusan mestilah dicapai melalui persetujuan dan konsensus antara raja (pemimpin) - rakyat guna membezakan antara Ketuhanan dan Kemanusian.
Di dalam bualan singkat, tidak dapatlah tulisan ini mengajak pembaca mengembara terlalu dalam bagi meneroka sesuatu yang bersifat falsafah, apatah lagi hal yang bersifat pandangan peribadi.
Tapi, ketika menonton Hujah di TV9 pada 20 November lalu yang menampilkan Ahli Parlimen Seri Gading Dato' Mohamad Aziz dan Pengarah Institut Sosial Malaysia Prof Dr Mohd. Fadzil Che' Din mengulas tajuk itu, rasanya perlu dirapi semula pandangan Melayu Umno ke atas perundangan.
Asal usul perundangan dalam kerangka pemikiran Melayu
Topik itu membawa tajuk 'Rasa tidak puas hati bagaimana nak diluahkan?'. Dalam pusingan awal sahaja, Dato' Mohamad Aziz telah menyebutkan sebagaimana yang diucapkan oleh sang presiden iaitu tindakan menyekat limpahan protes yang mencurah di jalan raya itu wujud adalah kerana hal perhimpunan itu menyalahi undang-undang negara.
"Kita tidak mengizinkan perhimpunan itu kerana ia menyalahi undang-undang," demikian mudah ulasan Aziz sambil merujuk kepada pemberian permit polis sebagai tanda pengukur sama ada ia halal atau haram. Permit polis itu akan menghalalkan dan mengharamkan sesuatu perhimpunan.
Inilah tembok besar yang sukar dipecahkan kerana elit penguasa telah berasakan kekuasaannya mencapai darjat Ketuhanan itu. Jadi, bagaimana mahu luahkan rasa tidak puas hati secara halal?
"Anda boleh menggunakan saluran media, akhbar," kata Aziz ketika menjawab soalan moderator Dr. Mohamad Agus Yusof. Jawapan itu sebenarnya telah dipatahkan Agus dengan katanya media dan akhbar di negara ini pun perlukan permit penerbitan dan penyiaran.
Sekali lagi, permit (keizinan dan restu penguasa) di sini telah menghalalkan serta mengharamkan suatu cara lagi bagi rakyat meluahkan perasaan tak puas hati mereka. Pada malam itu fokus rasa tidak puas hati rakyat menumpu kepada perhimpunan Bersih dan bukanlah isu picisan melibatkan politik di peringkat Kerajaan Tempatan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Sebaliknya, perbincangan malam itu memperlihatkan pemikiran panelis yang menggambarkan hal tak puas hati yang berkaitan permasalahan lampu rosak, longkang tersumbat yang berada dalam bidang kuasa PBT. Sekali lagi, bukanlah hal itu yang sebenarnya ingin didebatkan.
"Kita boleh adukan masalah prasarana yang rosak itu ke akhbar, tiada masalahnya," kata panelis.
Namun, apa yang dibangkitkan ialah hal keizinan pemerintah bagi menerbitkan akhbar dan restu polis untuk menghalalkan perhimpunan rakyat telah mencerminkan sikap 'double standard' pihak pemerintah. Dan hal itulah yang dibangkitkan Agus sebagai salah satu pertanyaannya.
Selain itu, Aziz kelihatan terperangkap apabila disoal oleh Agus: "Habis Dato', kalau sudah tiada ruang lagi untuk memajukan rasa tidak puas hati ini (akhbar disekat, perhimpunan diharamkan), di manakah lagi ruang untuk rakyat kita menuntut perubahan?"
"Pilihan raya…," jawab Aziz mudah. Mungkin, baginya cuma itulah satu-satunya pilihan yang ada.
"Tapi Dato', pilihan raya lima tahun sekali Dato'. Sedangkan masalah dan aduan rakyat mengenai kenaikan harga barang, minyak dan lainnya berlaku tiap-tiap hari," soal Agus kembali dan kali ini tiada jawapan diberikan. Mungkin menyedari kesilapannya menjawab.
Berbalik kepada persoalan asal, iaitu kegagalan pemikiran asli Melayu yang gagal diratah hadam oleh pimpinan tertinggi terhadap pandangan hidup sebenar mereka mengenai keadilan, undang-undang dan lainnya, hal ini mendatangkan kelemahan menjawab dan gagal bertindak secara adil.
Seperti yang termaklum, syura pertama yang wujud dalam sejarah Melayu adalah syura tentang ketaatan rakyat ke atas raja dan keadilan raja ke atas rakyatnya, di mana setiap hamba Melayu itu jangan dipermalukan dan diaibkan jika sebesar manapun salah dan dosanya.
Dalam Sulalatus Salatin, hal ini terangkum dalam syura antara Seri Tri Buana dan Demang Lebar Daun yang memutuskan 'perundangan' yang disebut sebagai wa'ad, perjanjian dan kontrak sosial antara rakyat dan pemerintah itu.
'Undang-undang' dibentuk melalui majlis 'undangan'
Dalam satu tafsiran lain, kita boleh menyebutkan bahawa segala hukum-hakam, undang-undang, peraturan dan 'perundangan' itu wujud setelah Seri Tri Buana 'mengundang' Demang Lebar Daun untuk mewujudkan 'undang-undang' baru yang perlu dipatuhi oleh hamba dan raja.
Parlimen sungguh pun daripada suatu segi adalah tempat 'mengundang' perwakilan rakyat untuk meluluskan undang-undang, namun masih ada kecacatan dari sudut perbahasan. Misalnya, tidak dibenarkan mana-mana ahli Parlimen menyokong usul pembangkang. Dalam hal ini tentunya ahli Parlimen Seri Gading ada pengalaman kerana pernah terlanjur menyokong usul pembangkang.
Ertinya, dalam 'undangan' di Parlimen itu sendiri sudah wujud ada permit, keizinan dan restu ahli Parlimen parti pemerintah. Tidak perhimpunan,akhbar saja perlu permit malah ahli Parlimen pun!
Maka, hal ini juga perlulah diperhalusi oleh ahli Parlimen Sri Gading sebelum melihat permit serta restu dalam konteks perhimpunan Bersih dan penerbitan akhbar sahaja. Mereka sendiri pun telah terikat dan tidak diberikan permit untuk menyokong usul musuh politik yang bercakap benar!
Oleh itu, apa ertinya 'undangan' ke Parlimen bagi meluluskan undang-undang ini jika naluri mahu bersuara secara bebas ini terhad? Ini juga perlu diperhalusi oleh Umno yang tidak faham falsafah undang-undang dalam kerangka pemikiran Melayu hadhari di zaman bahari yang lampau.
Debat antara Seri Tri Buana-Demang Lebar Daun itu adakah disekat? Adakah Seri Tri Buana yang mewakili keinginan kaum raja telah menyekat penyertaan suara hati Demang Lebar Daun selaku wakil hamba rakyat dalam kalangan Melayu? Malah, 'sembah derhaka' pun boleh disuarakan.
Saya masih teringatkan suatu pidato allahyarham mantan Mursyidul Am Pas Ustaz Yusof Rawa di mana di dalam pidatonya menyebutkan kisah Firaun yang menyekat suara hati ahli sihirnya yang telah ditundukkan oleh mukjizat Nabi Musa a.s.
Dan kemenangan Nabi Musa itu menyebabkan barisan ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri dan mereka bersujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, iaitu Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun." - (al-A'raaf: 120 – 122)
Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberikan keizinan kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya daripadanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatnya)." - (al-A'raaf: 123)
And the sorcerers fell down prostrate. They (sorcerers) said: "We believe in the Lord of the 'Alamin (mankind, jinn and all that exist). The Lord of Musa (Moses) and Harun (Aaron)." - (al-A'raff: 120 - 122)
Firaun (Pharaoh) said: "You have believed in him [Musa (Moses)] before I give you permission. Surely, this is a plot which you have plotted in the city to drive out its people, but you shall come to know. - (al-A'raaf: 123)
Firaun telah mengenakan permit di mana ahli-ahli sihir perlukan restu dan keizinan terlebih dulu daripada dirinya sebelum membenarkan mereka bersuara, menyatakan keimanan mengikut rasa hati mereka yang suci untuk menyembah Tuhan Nabi Musa a.s.
Kesimpulannya, segala sekatan melalui permit, tindakan ke atas ahli Parlimen kerana menyokong usul pembangkang, permit akhbar, permit perhimpunan, perlu keizinan restu TNC HEP menulis di media oleh pelajar-pensyarah adalah manifestasi khazanah pemikiran Firaun yang masih terjelma sebagai warisan Umno yang tidak hadhari pemikirannya. Khasnya, mengenai undang-undang itu.
Dalam sudut lain Melayu yang asli tulen ini telah membentuk suatu pemikiran yang kukuh apabila meletakkan istilah undang-undang bagi merujuk kepada hukum, akta. Ini kerana undang-undang sebagai yang disebutkan di atas telah merujuk kepada proses debat di mana seseorang itu akan 'mengundang' seseorang sebelum meluluskan 'undang-undang' yang mana tiada permit keizinan diperlukan ketika proses perbahasan sedang berlangsung.
Penggunaan istilah undang-undang ini tentunya berbeza dengan istilah Inggeris, 'act' yang telah dimelayukan sebagai 'akta'. Idea yang tercetus daripada 'akta' (act) ini menunjukkan 'tindakan', atau aksi terlebih dahulu yang bukan dimulakan dengan 'undangan' debat, perbahasan terlebih dahulu. Sudah tentulah tindakan, aksi yang dilaksanakan tanpa perhitungan ilmiah adalah zalim.
Ini berbeza dengan istilah Melayu di mana 'undang-undang' mestilah dibentuk melalui 'undangan' kemudian disusuli dengan penguatkuasaan. Ertinya, tanpa Islam sekali pun, corak berfikir Melayu sudah cukup kuat dan teguh dalam hal keadilan. Sebab itu juga Melayu mudah menerima Islam.
Umno dinasihatkan supaya berfikir secara Melayu jika mereka tidak mampu berfikir secara Islam. Bertindaklah sebagai khalifah yang tawaduk kepada Tuhan dengan mengambil pandangan orang terbanyak, mengundang penyertaan khalayak untuk bersuara untuk merumuskan perundangan.
Jangan sesekali menjadi Tuhan yang tidak memerlukan 'undangan' sesiapa pun untuk membuat 'undang-undang'. Jadilah Melayu sejati yang handal merumus teori secara rapi, tersusun melalui falsafah dan pemikiran yang mendalam ke atas makna kehidupan yang sementara ini. Dan kalau 'mengundang' seseorang untuk berbincang, jangan diletakkan syarat, perlu restu izin permit pula.
Alangkah sulitnya mengasuh pemerintah berfikir secara hadhari kerana kawah pemikiran mereka sudah mendasar jauh meninggalkan kerak hitam berkarat yang sukar disucikan lagi. Cuma taubat dan penyesalan yang membasuh jiwa mereka. Tapi, adakah taubat wujud dalam fikiran mereka? - mks.
No comments:
Post a Comment