Friday, November 02, 2007

MT akan dimaklum pelantikan Razak

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

BUTTERWORTH: Pelantikan Ketua Pemuda Umno Bahagian Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Ketua Penaja Umno bahagian itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno, hari ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, berkata beliau hanya berkesempatan menulis surat itu hari ini (semalam) kerana baru pulang dari lawatan kerja ke New Zealand, kelmarin.

"Saya akan maklumkan kepada MT esok (hari ini)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Prai, semalam.


Hadir sama, Pengarah Fama negeri, Mohd Ariffin Awang.

Azhar mengulas pelantikan Abdul Razak, 38, sebagai Ketua Penaja Umno Bahagian Jelutong yang diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri ini pada pertemuannya dengan pemimpin kanan Pemuda Umno negeri, minggu lalu.

Azhar menjelaskan nama Abdul Razak dicadangkan oleh jawatankuasa kecil mentadbir Umno bahagian itu yang dilantik oleh MT, mulai 1 Jun lalu.


"Dalam mesyuarat jawatankuasa kecil itu, pemilihan Abdul Razak dilihat terbaik bagi menyelesaikan krisis dalaman yang melanda Umno Bahagian Jelutong," katanya.

Pada 31 Mei lalu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata MT memutuskan Umno Bahagian Jelutong digantung berkuat kuasa serta-merta berikutan pelbagai masalah dalamannya.

Keputusan itu dibuat untuk mencari penyelesaian bagi memulihkan masalah dalam bahagian berkenaan.

Berikutan keputusan itu, bahagian berkenaan ditadbir sebuah jawatankuasa kecil yang dipengerusikan Ketua Umno Bahagian Bukit Gelugor, Senator Datuk Omar Faudzar.

Sebelum ini, pengurusan Umno Bahagian Jelutong pernah diambil alih oleh Badan Perhubungan Umno Negeri sebanyak dua kali kerana masalah dalamannya, selain jawatan ketua bahagian dan timbalannya turut digantung pada 2005.

Azhar berkata, pelantikan Abdul Razak menerima maklum balas yang positif daripada ahli dan semua sayap Umno di bahagian itu walaupun ia agak mengejutkan.

"Umno negeri juga berharap bekas Ketua Umno bahagian itu, Datuk Abdul Rashid Ismail dan Datuk Mohd Nor Hussain memberi sokongan kepada Abdul Razak demi kepentingan parti dan perpaduan ahli," katanya.

Azhar juga berkata, Abdul Razak akan diarahkan menubuhkan jawatankuasa pilihan raya bagi membolehkan jentera pilihan raya Umno bahagian itu digerakkan bagi menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa.

No comments: