Friday, November 02, 2007

Hadi, Husam bercanggah sasaran jumlah kerusi

KUALA TERENGGANU 1 Nov. – Ketika Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengurangkan sasaran kerusi Parlimen yang boleh dimenangi pada pilihan raya umum akan datang, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sebaliknya.

Malah, beliau yakin Pas akan menang lebih daripada 60 kerusi Parlimen pada pilihan raya itu, sekaligus mengurangkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN).

Abdul Hadi berkata, sasaran itu adalah berdasarkan mood rakyat dan suasana dalam negara sekarang ini.

“Peluang Pas dan sekutunya untuk menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum kali ini sememangnya cerah.

“Sasaran Pas sebenarnya tidak pernah berubah dan goyah... siapa kata kami goyah kerana impian untuk menang penting bagi membolehkan Pas dan BA memerintah negara,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Perhubungan Pas Negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Husam yang menyebut sasaran Pas memenangi 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang, dikurangkan kepada 20 hingga 30 kerusi sahaja.

Husam yang juga Exco Kerajaan negeri Kelantan berkata, Pas mempunyai dua sasaran berbeza berasaskan perubahan semasa mood pengundi.

Katanya, mendapat 40 kerusi adalah sasaran utama tetapi Pas juga ada sasaran B iaitu mendapatkan 20 hingga 30 kerusi berdasarkan kepada mood rakyat.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, sasaran Husam itu adalah pandangan peribadinya dan tidak mencerminkan pendirian serta sasaran sebenar Pas.

Selain menambah kerusi di seluruh negara, beliau juga yakin Pas akan dapat mengekalkan tampuk pemerintahan di Kelantan yang dikuasainya 17 tahun lepas.

“Pas juga yakin dapat merampas negeri Kedah, Terengganu dan beberapa kawasan lain yang kini berada dalam genggaman UMNO,'' kata Hadi lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustapa Ali ketika ditemui pula berkata, Pas sebenarnya tidak mempunyai masalah besar untuk mempertahankan Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, peluang menguasai negeri Terengganu adalah 50-50.

No comments: