Friday, November 02, 2007

Jangan timbulkan isu perkauman – Zam

Oleh Azran Fitri Rahim

KOTA BHARU 1 Nov. – Pertubuhan media tidak memainkan isu perkauman semata-mata mahu melariskan jualan akhbar atau rating televisyen kerana ini tidak membawa kebaikan kepada negara.

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata, kecenderungan akhbar tertentu sejak akhir-akhir ini yang menyiarkan berita sedemikian perlu dihentikan kerana ia boleh menjejaskan harmoni dalam negeri serta imej negara.

“Hentikanlah memainkan sentimen kononnya ada penduduk di negara ini terdiri daripada golongan kelas pertama atau kedua.

“Kerajaan sama sekali tidak mengamalkan dasar apartheid atau untuk mewujudkan masyarakat bukan Melayu sebagai rakyat kelas kedua dan masyarakat Melayu sebagai kelas pertama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Penerangan Kebangsaan 3/2007 di sini hari ini.

Turut hadir ialah dua Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Chia Kwang Chye.

Zainuddin meminta pengarang media cetak dan elektronik supaya tidak menjadikan isu-isu sosial, alam sekitar dan kemalangan sebagai isu perkauman dengan tujuan untuk meningkatkan jumlah penonton dan melariskan jualan akhbar.

“Malah isu-isu perkauman yang dibangkitkan pada persidangan Majlis Peguam telah disiarkan oleh akhbar yang mengambil kesempatan untuk menjalankan agenda politik bagi menimbulkan persepsi kerajaan menekan kebebasan media.

“Kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana media yang menimbulkan isu perkauman tetapi mereka sepatutnya belajar daripada sejarah dahulu,” katanya.

Katanya, Mesyuarat Majlis Penerangan hari ini melihat pendemokrasian media yang diharapkan akan mendatangkan pandangan yang lebih positif kepada Malaysia sebaliknya telah disalah gunakan untuk menimbulkan prasangka yang buruk terhadap keharmonian kaum dan kestabilan negara.

Menurutnya, di bawah kebebasan yang diberikan beberapa media lebih menampakkan kecenderungan untuk menidakkan nilai-nilai kebebasan yang telah diamalkan di negara ini sejak merdeka.

“Mereka (media) lebih cenderung untuk merendahkan taraf kebebasan yang telah wujud di negara ini dengan percubaan-percubaan menyiarkan perkara-perkara yang sensitif kepada masyarakat majmuk.

“Justeru, mesyuarat telah mengambil keputusan untuk mengerakkan agensi-agensi di bawah Kementerian Penerangan bagi menjelaskan kepada rakyat dengan lebih aktif lagi dasar dan perancangan yang akan dilaksanakan kerajaan dalam semua bidang,” katanya.

Tambahnya, kementerian tersebut telah mengenal pasti Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak untuk memberikan lebih banyak penerangan.

No comments: