Thursday, May 28, 2009

SPR, SPRM siasat kes sogokan secara bebas

SPR, SPRM siasat kes sogokan secara bebas



ABDUL Aziz (kiri) menerima cenderahati berupa kertas undi terbesar ketika pilihan raya Dun Bukit Selambau daripada Mohd Habib di Percetakan Nasional cawangan Kedah, semalam.

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh membatalkan kemenangan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, jika terbukti calon itu melakukan sogokan supaya pihak lawan menarik diri daripada bertanding.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata SPR bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes itu secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Kita bekerjasama dengan SPRM dalam hal ini dan jika didapati calon sendiri terbabit, maka tindakan boleh sampai ke tahap membatalkan kemenangannya jika calon itu menang dalam pilihan raya nanti.

"Bagaimanapun jika kesalahan itu dilakukan oleh pihak lain, ia mungkin tidak menjejaskan calon terbabit meskipun pihak yang melakukan perbuatan itu adalah dari parti yang sama.

"Saya serahkan perkara itu kepada Penasihat Undang-undang SPR untuk meneliti kes ini dan kita akan mengambil tindakan berdasarkan peruntukkan undang-undang selepas siasatan SPRM selesai," katanya selepas melawat kilang Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di sini, semalam.

Kilang PNMB di sini, mencetak kertas undi untuk pilihan raya kecil Penanti. Hadir sama Pengarah Urusan PNMB, Datuk Mohd Habib Jamaldin.

Kelmarin, PKR mengaku dua ahlinya menemui dan menawarkan ganjaran kepada calon Bebas, Aminah Abdullah supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti.

Aminah turut membuat laporan kepada SPRM dan mengemukakan bukti mengenai wujudnya tawaran dan sogokan berkenaan.

Calon Bebas itu mendakwa beliau ditawarkan ganjaran wang tunai RM80,000 serta jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang oleh PKR jika membatalkan hasrat bertanding.

Abdul Aziz berkata, SPR akan meneliti salinan rakaman audio cakera padat berhubung dakwaan itu bagi melengkapkan siasatan.

Katanya, SPR tidak menolak siasatan akan ambil masa agak lama kerana ia perlu mendapatkan maklumat sahih.

No comments: