Thursday, May 28, 2009

Mohd. Saberi bebas ambil tindakan undang-undang - SPR

Mohd. Saberi bebas ambil tindakan undang-undang - SPR

BUKIT MERTAJAM 27 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah menghalang Mohd. Saberi Othman yang ditolak borang pencalonannya daripada mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap badan itu.

Mohd. Saberi juga bebas untuk membuat laporan polis jika dirasakannya sesuai ekoran borang pencalonannya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti Ahad ini, tidak diterima.

Mohd. Saberi, 49, dilaporkan telah membuat laporan polis sehari selepas hari penamaan calon kerana tidak berpuas hati dengan tindakan SPR.

Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya, calon Bebas itu boleh mengambil apa jua tindakan yang dirasakannya sesuai.

Beliau berkata, terpulang kepada Mohd. Saberi sama ada untuk memanjangkan perkara itu atau sebaliknya.

"SPR tidak boleh menegahnya daripada mengambil tindakan yang dia rasakan sesuai dan kita juga tidak ada apa-apa masalah jika dia mahu memanjangkan kes ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Roslan yang juga merupakan Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) berkata, dalam tempoh bantahan pada hari penamaan calon Sabtu lalu, SPR mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk menolak borang pencalonan daripada ahli perniagaan itu.

Beliau bagaimanapun memberitahu, sehingga ke hari ini SPR tidak dipanggil oleh pihak polis untuk siasatan berhubung perkara tersebut.

Kelmarin, Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Mohd. Yusof memberitahu bahawa SPR mempunyai alasan ketika menolak borang pencalonan Mohd. Saberi pada hari penamaan calon tetapi tidak mendedahkan sebabnya.

Menurutnya, SPR berbuat demikian atas faktor mahu menjaga air muka calon itu.

No comments: