Thursday, May 28, 2009

13 bahagian keluar PPP jika ROS pilih Kayveas

13 bahagian keluar PPP jika ROS pilih Kayveas

JOHOR BAHRU 27 Mei - Ahli-ahli di 13 daripada 19 bahagian Parti Progresif Penduduk (PPP) negeri ini mengancam akan keluar parti jika laporan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memihak kepada Datuk M. Kayveas.

Sebaliknya, mereka menegaskan, ahli-ahli itu akan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) jika keputusan ROS memihak kepada Senator Datuk T. Murugiah.

Timbalan pengerusi PPP Bahagian Pulai yang mengetuai kumpulan itu, Dr. Muruga Raj Rajathurai berkata, pihaknya menerima kira-kira 5,000 panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang bersetuju dengan langkah tersebut.

''Sehingga kini kira-kira 5,000 panggilan telefon diterima dari pelbagai pihak yang menyatakan hasrat mereka menyertai kumpulan kami biarpun apa keputusan ROS," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua PPP Bahagian Pulai M. Gajentran; Tan Lai Soon (Sri Gading); G.S Maniam (Kota Tinggi); M. Vimalanadan (Ayer Hitam) dan lebih 30 ahli parti peringkat cawangan.

Dr. Muruga Raj bagaimanapun tidak menyatakan jumlah sebenar anggota PPP yang bakal keluar parti sekiranya Kayveas kekal sebagai presiden.

Beliau berkata, mereka menganggap Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada Ahad lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) adalah sah.

Menurutnya, ini kerana mereka yang hadir telah dimaklumkan terlebih dahulu mengikut perlembagaan parti.

''Selain itu, sebenarnya ramai yang menyokong Murugiah sebagai presiden tetapi mereka tidak mahu mendedahkan diri mereka,'' jelasnya.

M. Gajentran pula mendakwa semua ahli dan bahagian berkenaan sudah menyatakan persetujuan bersama untuk keluar daripada PPP memandangkan sudah hilang kepercayaan kepada Kayveas.

Menurutnya, mereka juga kecewa dengan tindakan Kayveas menyifatkan EGM itu sebagai tidak sah.

''Bagaimana beliau (Kayveas) boleh membuat tuduhan berkenaan... sedangkan PPP di bawah pimpinannya tidak ditadbir mengikut perlembagaan parti.

''Bayangkan, di negeri ini, misalnya, tidak pernah ada mesyuarat di peringkat bahagian atau cawangan," tegasnya.

Selain itu, beliau berkata, ahli parti juga langsung tidak mengetahui status keahlian mereka sama ada sah atau tidak selepas memperbaharui kad masing-masing.

Katanya, perkara berkenaan pernah dibangkitkan dalam konvensyen parti itu di peringkat negeri atau dalam pertemuan dengan Kayveas, namun tidak berhasil kerana pemimpin itu akan memecat mana-mana ahli yang mempersoalkan kuasanya.

No comments: