Kayveas sedia dengar 'rungutan' Murugiah
KUALA LUMPUR 27 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas sedia mendengar sebarang 'rungutan' Senator Datuk T. Murugiah jika bekas Ketua Pemuda itu sanggup berjumpanya dalam masa terdekat ini.
Menurutnya, beliau akan mendengar apa saja rungutan Timbalan Menteri itu yang menimbulkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap parti dan ahli-ahli parti.
"Ini bukan masalah antara saya dengan Murugiah tetapi antara beliau dengan parti. Selaku presiden parti, saya sanggup berjumpanya untuk menyelesaikan kemelut dalam PPP yang menjadi perhatian umum sejak kebelakangan ini.
"Hanya tinggal tiga hari lagi untuk membuat rayuan bagi pemecatannya. Jika dia benar-benar sayangkan parti, lebih baik buat rayuan dan menjadi ahli PPP yang sah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahad lalu, Murugiah yang sebelum ini dipecat sebagai ahli MT dipilih sebagai 'presiden' baru parti itu melalui mesyuarat agung tergempar (EGM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pemilihan dibuat oleh kira-kira 1,760 perwakilan yang didakwa melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP di seluruh negara.
Murugiah dipilih sebulat suara sebagai Presiden selepas undi tidak percaya ke atas Kayveas dilulus sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan Presiden yang telah disandangnya sejak 1993.
Tambah Kayveas, beliau tidak berhasrat membuat laporan polis terhadap Murugiah dan tidak ingin membawa isu tersebut ke mahkamah.
Menurutnya, Murugiah tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan EGM PPP yang dijadualkan bulan depan.
"Beliau berlagak seperti 'Perdana Menteri' dengan meminta Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak perlu datang ke EGM itu.
"Dia tidak mempunyai kuasa menghentikan atau membatalkan program yang telah pun dirancangkan oleh PPP," jelasnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment