Thursday, May 28, 2009

Kes rasuah Azalina masih disiasat

Kes rasuah Azalina masih disiasat
Oleh Norfatimah Ahmad

tim@bharian.com.my

Lembaga Disiplin teruskan siasatan walau SPRM umum tiada dakwaan

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Umno masih menyiasat dakwaan rasuah terhadap Datuk Seri Azalina Othman Said walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu mengumumkan siasatan pihaknya mendapati tiada kes untuk mendakwa beliau di mahkamah.

Ahli Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata fail kes membabitkan bekas Menteri Pelancongan yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu masih di peringkat siasatan pihaknya.

"Fail kes Azalina masih dibuka Lembaga Disiplin, tetapi kami memerlukan masa untuk membuat penelitian dan siasatan bagi mengesahkan jika ada asas terhadap dakwaan yang dibuat terhadapnya," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Megat Najmuddin berkata, siasatan terhadap Azalina adalah antara kes yang diberi perhatian Lembaga Disiplin, selain beberapa kes lain yang membabitkan calon yang menang dalam pemilihan Umno, baru-baru ini.

"Kami biasanya menetapkan sehingga enam bulan untuk menyelesaikan siasatan dan kita akan cuba melaksanakan tugas dengan ini dengan berkesan termasuk yang membabitkan calon yang menang pada pemilihan parti dan didakwa terbabit dalam politik wang pada saat akhir," katanya.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan terhadap Azalina yang dilengkapkan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati tiada aspek yang membolehkan bekas menteri itu dikaitkan dengan rasuah.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata, ada kemungkinan pihak lain yang turut terbabit dalam siasatan terhadap kes Azalina yang dikatakan menyalah guna kuasa dan penyelewengan pengagihan projek kementerian itu, boleh dikaitkan dengan dakwaan terbabit.

Pada 12 Mac lalu, akhbar melaporkan SPRM merampas sejumlah fail dan menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pelancongan bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu.

Dua pegawai kanan Azalina turut ditahan SPRM, tetapi dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Bagaimanapun, pada awal April lalu, Azalina menyelar SPRM dengan mendakwa organisasi berkenaan melengahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadapnya.

Beliau dilaporkan berkata, SPRM dilihat berdiam diri tanpa memberi sebarang alasan terutama selepas selesai Perhimpunan Agung Umno hujung Mac lalu yang menyaksikan beliau tewas dalam merebut jawatan ahli MT Umno.

Pada awal siasatan SPRM terhadap Azalina, fail kes berkenaan turut diserahkan suruhanjaya berkenaan kepada Lembaga Disiplin parti itu untuk siasatan lanjut kerana ia membabitkan kesalahan yang tidak mematuhi tata etika parti.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, ketika ditanya mengenai cadangan menghapuskan sistem kuota dan memperluaskan hak memilih di kalangan ahli Umno pada pemilihan parti akan datang, berkata langkah itu wajar mendapat sokongan semua pihak.

"Jika semua berjalan lancar, langkah ini tentunya dapat menangani gejala politik wang, tetapi pada masa sama kita harap tiada pihak yang cuba mencari taktik lain yang menyalahi tata etika untuk mendapatkan sokongan," katanya.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, pihaknya juga sedia memberi sebarang cadangan jika diminta berbuat demikian untuk memastikan perubahan yang bakal diterapkan pada pemilihan Umno akan datang membawa kebaikan untuk parti itu.

No comments: