Thursday, May 28, 2009

Sokong perhimpunan haram: Pewaris selar MB Selangor

Sokong perhimpunan haram: Pewaris selar MB Selangor

KUALA LUMPUR 27 Mei - Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) menyelar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mengeluarkan kenyataan menyokong budaya perhimpunan haram.

Timbalan Presidennya, Rahimuddin Md. Harun berkata, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin seperti beliau.

''Rakyat sudah bosan dengan masalah yang timbul akibat perhimpunan haram dan majoriti rakyat menolak budaya perhimpunan haram,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Menteri Besar Selangor itu yang meminta Kerajaan Persekutuan dan polis supaya mengkaji semula undang-undang berkaitan perhimpunan awam di negara ini.

Rahimuddin berkata, kenyataan Abdul Khalid itu juga dilihat mampu menghasut dan menggalakkan rakyat untuk menyalahi undang-undang.

''Sistem demokrasi dan kepentingan rakyat harus diutamakan berbanding kepentingan politik semata-mata,'' katanya.

Malah, tambahnya, golongan yang berhasrat melakukan perhimpunan haram seperti pertubuhan haram Hindraf harus sedar bahawa mereka bukannya mewakili suara rakyat tetapi hanyalah minoriti yang cuba berlagak kuat.

No comments: