Thursday, May 28, 2009

Manek Urai : BN kempen mesra rakyat

BN kempen mesra rakyat

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my


AHMAD (kiri) bertanya khabar penduduk Lela Jasa pada lawatan ke kampung itu, semalam.

Dekati pengundi Manek Urai dari rumah ke rumah

KUALA KRAI: Barisan Nasional (BN) menumpukan kempen secara mesra rakyat iaitu dari rumah ke rumah dan warung ke warung untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata kaedah kempen seperti itu membolehkan jentera BN menyelami isi hati serta masalah yang dihadapi penduduk Manek Urai menerusi perbualan dan sesi penerangan yang dibuat sambil minum dan makan bersama.

“Apabila berkempen, tidak mesti berceramah. Ia tetap dibuat tetapi kita menumpukan kempen dan program penerangan dari rumah ke rumah, warung dan masjid kerana lebih berkesan di luar bandar seperti Manek Urai.

“Apa yang penting kita berjumpa dan beramah mesra dengan rakyat sambil mendengar luahan hati mereka.

“Saya akan tidur di rumah penduduk untuk memahami masalah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk di Kampung Lela Jasa, Sungai Rek, di sini, semalam.

Kerusi DUN Manek Urai yang terletak dalam Parlimen Kuala Krai itu kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, daripada Pas meninggal kerana komplikasi jantung di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Jumaat lalu.

Ahmad berkata, BN berpeluang cerah merampas DUN Manek Urai memandangkan kawasan itu bukan kubu kuat Pas seperti digembar-gemburkan parti terbabit.

Katanya, kerusi DUN berkenaan pernah dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum 1978 dan 2004, sekali gus memberi gambaran jelas Pas bakal berdepan laluan sukar untuk mempertahankan kemenangan pada 2008.

“Kalau nak kata Manek Urai kubu kuat Pas, pasti mereka tidak pernah kalah di sini dan saya yakin kerja keras serta semangat kerjasama jitu daripada semua pihak, BN mampu mencatatkan kejayaan.

“Berdasarkan perbualan ketika minum dan solat berjemaah bersama penduduk, maklum balas mereka sangat positif dan mudah-mudahan ia berterusan," katanya.

Beliau berkata, kemenangan di Manek Urai penting bagi BN kerana ia menggambarkan petunjuk rakyat kembali meletakkan kepercayaan kepada kepemimpinan baru parti dan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

No comments: