Moral jentera parti DUN Manek Urai kembali melonjak
KUALA KRAI 27 Mei - UMNO akan menjadikan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sebagai asas kebangkitan semula parti itu di Kelantan ketika moral jenteranya kembali berada di tahap paling tinggi.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan menegaskan, perubahan barisan kepimpinan di peringkat negeri dan Pusat telah menyuntik semangat baru di kalangan ahli yang melihat kemenangan itu kelak amat penting.
Katanya, meskipun Pas mencanangkan bahawa Manek Urai merupakan kubu kuatnya, sejarah membuktikan ia pernah dikuasai Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada tahun 1978 dan 2004.
''Tidak mustahil kita mengulangi sejarah Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir dalam keadaan yang sama iaitu berlangsung setahun selepas pilihan raya umum dan kebetulan disebabkan kematian wakil rakyat Pas dan di kubu kuat mereka," ujarnya.
Beliau mengingatkan meskipun berdepan dengan saingan sengit namun kemenangan boleh dicapai melalui formula 4P dan 4S dengan kerja keras oleh jentera di semua peringkat mengerakkan strategi dengan berkesan.
''Formula 4P melibatkan aspek kepimpinan, perpaduan, perancangan dan pelaksanaan manakala 4S menyentuh soal semangat, sungguh-sungguh, sama-sama dan sistematik.
''Sewaktu pilihan raya kecil, berasaskan pengalaman lalu, kemenangan hanya dicapai jika pimpinan bergerak bersama dengan mengenepikan segala masalah dalaman dengan fokus pada matlamat yang sama," ujarnya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan pertama dengan kepimpinan bahagian, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian di samping jentera penerangan di sini malam tadi. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ramzi Abdul Rahman.
Pertemuan itu merupakan yang pertama bagi beliau dengan kepimpinan bahagian dan jentera penerangan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan.
Terdahulu ketika berucap pada pertemuan itu, Ahmad menekankan betapa perlunya perancangan yang baik dilaksanakan dengan berkesan agar dapat menarik sokongan kalangan penyokong parti lawan dan pengundi atas pagar.
''Kalau kita gagal untuk merancang maka tentunya kita merancang untuk gagal," ujarnya.
Beliau menarik perhatian, fokus kempen akan terarah dari rumah ke rumah 12,292 pengundi kerana itulah hubungan yang paling dekat dengan para pengundi.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, pilihan raya kecil ini juga sebagai cabaran awal baginya dalam memikul tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baru.
''Justeru saya akan menghabiskan banyak masa di sini bagi menyelaraskan gerak kerja, bersama dengan masyarakat setempat dengan menginap di rumah-rumah mereka, menyelami kehidupan dan permasalahan serta harapan mereka," ujarnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment