Thursday, May 28, 2009

Perhimpunan tanpa permit tetap dilarang

'Tak perlu kaji permit perhimpunan'

Oleh Jalal Ali Abd Rahim dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my

Semua pihak perlu hormati undang-undang bagi elak situasi kurang selesa: KPN

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan tunduk kepada desakan supaya mengkaji semula proses permohonan permit untuk mengadakan sebarang perhimpunan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata semua pihak perlu menghormati undang-undang mengenainya bagi mengelakkan wujudnya situasi kurang selesa di negara ini yang rakyatnya berbilang kaum.

"Kita tegas dalam perkara ini dan meminta semua pihak menghormati undang-undang. Saya tidak mahu komen jika kenyataan atau desakan itu dibuat ahli politik. Kami menjalankan tugas secara profesional dan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang jelas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Isnin lalu yang mahu kerajaan dan polis mengkaji semula undang-undang berhubung keperluan memohon permit untuk menganjurkan sebarang perhimpunan.

Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Mohammad Agus Yusoff, berkata desakan Khalid itu tidak wajar memandangkan undang-undang sudah jelas mengenainya.

"Ini terpulang kepada budi bicara pihak berkuasa. Jika polis syak perhimpunan itu boleh mendatangkan mudarat jadi penganjur perlu pohon permit dan polis berhak menghentikan perhimpunan berkenaan.

"Bagaimanapun, undang-undang itu tidaklah sampai menyusahkan kita sehingga mahu berkumpul untuk majlis kenduri kahwin pun perlu dapatkan permit. Kita kenalah faham mana perhimpunan yang perlu permit dan mana yang tidak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata semua pihak sepatutnya menghormati peraturan itu dan tidak mempersoalkannya.

"Perkara ini sebenarnya sensitif dan jika boleh semua pihak perlu berhati-hati. Undang-undang sudah jelas mengenai perkara ini dan jika beliau (Khalid) kurang puas hati, boleh kemukakan untuk dibahaskan di Parlimen," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga laporan polis dibuat petang semalam terhadap kenyataan Khalid.

Dua laporan masing-masing dibuat oleh pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim (IRMM), Amir Ansaa Alla Pitchay dan wakil Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris), Azwanddin Hamzah di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, petang semalam.

Satu lagi laporan dibuat oleh individu dikenali Azwanddin Hamzah di Balai Polis Dang Wangi di sini.




Perhimpunan tanpa permit tetap dilarang


IPOH: Polis Perak menjelaskan tidak menghalang penyokong mana-mana parti politik yang mahu menyertai mogok lapar atau menyalakan lilin tetapi akan menahan mereka yang berhimpun tanpa permit.

Ketuanya, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata dalam suasana politik yang agak tegang di negeri ini sekarang, sebarang bentuk perhimpunan mestilah mendapat kebenaran polis.

Beliau berkata, polis sentiasa tegas dalam aspek itu bagi mengekalkan ketenteraman awam dan mencegah kejadian buruk.

"Bukan polis tidak membenarkan mogok lapar.

Kita tak membenarkan perhimpunan haram. Masalah orang nak berpuasa atau

tak nak makan, tidak ada kena-mengena dengan polis.

"Kita tidak halang dan kita tidak menggalakkan. Yang polis tidak bagi ialah perhimpunan haram,” katanya di sini semalam.

"Dalam keadaan sekarang ini, apa juga bentuk perhimpunan di Perak hendaklah dengan permit.

"Kalau tiada permit, tindakan akan diambil polis. Kita memang konsisten dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, semalam.

Kelmarin, polis menahan 14 pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat selepas perasmian kempen mogok lapar manakala dua lagi ditahan pada sebelah malam di depan Wisma DAP kerana berkumpul sempena majlis menyalakan lilin.

Semua yang ditahan dibebaskan petang dan lewat malam kelmarin atas jaminan polis.

Sementara itu, Zulkifli berkata, IPK Perak bercadang menubuhkan tiga lagi Pusat Sehenti, iaitu di IPD Kerian, Manjung dan Perak Tengah.

Katanya, Pusat Sehenti yang dinamakan Balai Polis Sentral itu menghimpunkan semua pegawai penyiasat dari semua jabatan dalam perkhidmatan polis bagi memudahkan orang ramai berurusan.

Beliau berkata, Balai Polis Sentral membolehkan penduduk menguruskan kes jenayah, trafik, komersial, narkotik dan sebagainya di bawah satu bumbung dan tidak perlu lagi membuat laporan di balai berbeza.

Laman web IPK Perak yang boleh dicapai di www.polisperak.rmp.gov.my bertujuan meningkatkan perkhidmatan secara online terutama untuk golongan muda.

No comments: