Thursday, May 28, 2009

Aminah dakwa terima panggilan berbaur ugutan

Aminah dakwa terima panggilan berbaur ugutan

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

Calon Bebas turut dimaki hamun individu tidak dikenali

BUKIT MERTAJAM: Dua hari selepas mendedahkan ditawarkan jawatan dan wang tunai oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menarik diri daripada bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Aminah Abdullah, semalam mendakwa menerima panggilan berbaur ugutan.

Calon Bebas itu juga mendakwa dimaki hamun oleh individu yang tidak dikenali yang menghubunginya, dipercayai menggunakan telefon awam.

Sambil menegaskan beliau tidak takut dengan ugutan itu, Aminah berjanji akan membuat pendedahan baru berhubung perbuatan PKR termasuk apa yang berlaku di sebuah hotel di Nibong Tebal pada 2007.

Diminta mengulas lanjut apa yang berlaku di hotel itu, Aminah mencabar Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim supaya menjawab dalam tempoh 24 jam mengenainya.

"Maruah dibayar maruah. Saya mahu beliau menjawabnya. Kalau tidak saya sendiri akan mendedahkannya kepada orang ramai," katanya.

Ditanya mengenai panggilan ugutan itu, beliau berkata: "Macam-macam kata maki hamun kepada saya, tetapi saya anggap mereka ini sebagai pengecut kerana tidak berani guna telefon sendiri, boleh saya hubung semula. Semua guna telefon awam."

Isnin lalu, Aminah, 56, mendedahkan beliau ditawarkan jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan wang tunai RM80,000 jika menarik diri.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang itu juga mendakwa beliau ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I jika menang, dengan syarat menyertai semula parti berkenaan.

Aminah yang mendakwa dua ahli PKR membuat tawaran itu ketika berkunjung ke rumahnya di Jelutong, Georgetown, 13 Mei lalu, juga merakam perbualan mereka dengan rakamannya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menjelaskan pendedahan yang dibuatnya bukan bertujuan membalas dendam terhadap parti yang pernah dianggotai selama kira-kira 10 tahun.

"Saya dedahkan semua ini bukannya untuk membalas dendam, sebaliknya untuk menegakkan hak serta keadilan yang kononnya sering dilaung-laungkan dalam parti itu.

"Sebagai seorang pejuang, tidak ada perkataan balas dendam dalam kamus Kak Min. Saya hanya berjuang dan memberi keadilan kepada semua," katanya.

Sementara itu, Aminah menafikan beliau memerangkap dua ahli PKR yang menemuinya berhubung tawaran jawatan dan wang tunai, sebalik ia diatur sendiri seorang daripada mereka.

Dua ahli PKR yang menemuinya adalah pembantu khas kepada Exco kerajaan Pulau Pinang, Peter Lim Eng Nam dan Ahli Majlis Tertinggi PKR, Cheah Kah Peng.

Kelmarin, Cheah dalam sidang media bersama Lim mendakwa Aminah memerangkap mereka dan menafikan menawarkan ganjaran wang tunai dan jawatan kepada calon Bebas itu.

No comments: