Saturday, August 22, 2009

Tiada cap jari di botol bom api

Tiada cap jari di botol bom api

Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my

Polis terus siasat dalang bertanggungjawab serang kenderaan SPRM

SHAH ALAM: Tiada cap jari ditemui pada tali dan enam botol bom api bagi membantu siasatan kes kenderaan pacuan empat roda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Klang, rosak dibaling bom, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya akan terus mengesan mereka yang bertanggungjawab.

"Setakat ini tiada saksi, jadi kita akan cuba buat apa yang terbaik," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Serangan kenderaan SPRM itu dipercayai berlaku antara jam 2 hingga 3 pagi semalam, tetapi hanya disedari selepas kakitangan suruhanjaya berkenaan memulakan tugas jam 7.45 pagi.

Nissan X-Trail itu diletakkan di tempat letak kereta berbumbung bertulis SPRM di belakang bangunan yang pernah menempatkan Pejabat Tanah dan Daerah Klang di Jalan Kota.

Enam bom api dibaling pada jarak kira-kira lima meter dari luar pagar belakang bangunan itu, tetapi hanya meletup beberapa sentimeter dari sisi kiri kenderaan berkenaan menyebabkan tayar depan serta tepi penumpang mempunyai kesan terbakar.

Bagaimanapun, beberapa bom api itu tidak meletup dan sumbunya ditemui tersangkut pada pagar bangunan berkenaan yang turut menempatkan pejabat Rela dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Polis masih meneruskan siasatan sama ada serangan itu dilakukan samseng atau kongsi gelap yang mempunyai kaitan dengan ahli politik yang sedang disiasat SPRM.

Polis juga menyiasat kemungkinan serangan bom api itu ada kaitan dengan kes ugutan bunuh yang diterima Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, kira-kira sebulan lalu, berhubung kes kematian Teoh Beng Hock.

No comments: