Saturday, August 22, 2009

'Beri TPM peluang kotakan janji'

'Beri TPM peluang kotakan janji'

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

Penduduk wajar ambil kesempatan bangunkan Permatang Pasir

BUKIT MERTAJAM: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir wajar mengambil kesempatan daripada janji Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikan kawasan itu sebagai anak emas Kerajaan Pusat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Barisan Nasional (BN) sudah berjanji untuk melaksanakan pelbagai pembangunan untuk kepentingan rakyat di kawasan ini jika BN menang.

"Saya rasa inilah peluang penduduk di sini untuk mengubah wajah Permatang Pasir dengan pelbagai pembangunan seperti kemudahan asas serta infrastruktur yang lebih baik seperti dijanjikan Timbalan Perdana Menteri.

"Banyak lagi kemudahan asas yang tidak mampu diperjuangkan wakil rakyatnya sebelum ini dan jika calon BN yang menang, tiada masalah untuk kita salurkan peruntukan untuk melaksanakannya," katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dari rumah ke rumah di Simpang Tanjung Putus di sini, semalam.

Muhyiddin ketika mengumumkan Rohaizat Othman sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu, Jumaat lalu, berkata Kerajaan Pusat akan menjadikan Permatang Pasir sebagai anak emas jika BN menang, sekali gus memudahkan penyaluran bantuan.

Pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Selasa ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Rohaizat, 38 dengan calon Pas, Mohd Salleh Man, 52.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abd Rahman pada 31 Julai lalu kerana sakit jantung.

Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno, berkata penduduk di Permatang Pasir sudah matang dalam membuat keputusan bagi memilih calon wakil rakyat yang mampu membawa suara mereka bagi memberi pembangunan.

"Saya yakin pengundi di sini sudah matang dan mereka akan buat keputusan tepat selepas mendengar penjelasan daripada pemimpin kita yang didakwa dengan pelbagai tuduhan tidak berasas oleh pembangkang," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, pendekatan berkempen BN lebih diterima rakyat kerana pemimpinnya pergi dari rumah ke rumah dengan menjelaskan bentuk pembangunan bakal dinikmati penduduk.

"Kami bukan macam pembangkang memberi ceramah kebanyakannya memfokuskan kepada serangan peribadi yang tidak pasti benar atau tidak," katanya.

No comments: