Saturday, August 22, 2009

Nik Aziz tak wajar debat keputusan Majlis Fatwa

Nik Aziz tak wajar debat keputusan Majlis Fatwa

KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Fatwa sudah jelas dan sebarang rasa tidak puas hati perlu dikemuka terus kepada pengerusi majlis berkenaan dan tidak menggunakan media untuk mempertikaikan keputusan yang sudah dibuat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mendakwa Majlis Fatwa tidak profesional dan dipengaruhi pihak lain kerana tidak bersemuka dengan beliau sebelum memutuskan kenyataan yang dibuatnya bahawa ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa penyokong parti itu ke syurga sebagai salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Muhyiddin berpendapat, apa diputuskan Majlis Fatwa berkenaan kenyataan Nik Aziz adalah betul dan sudah diluluskan Majlis Raja-Raja.

"Saya berpendapat apapun itu tidak boleh dipermain-mainkan, ia harus dihormati.

"Jika Nik Aziz kata ada beberapa perkara yang tak berapa betul, dia kena beritahu Pengerusi Majlis Fatwa, tak payahlah perdebat di media sebab ini membabitkan maruah beliau.

"Media pun sudah mengeluarkan secara transkrip dan ini adalah hitam putih jadi tak perlu saya nasihatkan beliau dan beliau harus tahu apa yang patut dilakukan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo SME Corporation Malaysia dan majlis menandatangani Perjanjian Pajakan antara SME Corp dengan MRCB di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Nik Aziz meluahkan perasaan hatinya di hadapan kira-kira 2,000 orang yang mengikuti kuliah mingguannya, di Dataran Ilmu, dengan tidak bersetuju terhadap ketetapan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibuat pada 2000.

Beliau merujuk kepada akhbar berbahasa Melayu kelmarin, dengan menyatakan pendiriannya bahawa ketentuan dibuat jawatankuasa itu terhadap seseorang Islam boleh masuk syurga atau neraka hak mutlak Allah, adalah tidak tepat.

Beliau berkata, sekiranya syurga neraka itu hak mutlak Tuhan, menghisap dadah serta rasuah tidak mengapa kerana perbuatan itu belum tentu masuk neraka sebab mutlak masuk syurga neraka itu sudah menjadi hak mutlak Tuhan.

"Bila syurga neraka mengikut petua ini (Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan) hak mutlak Tuhan, kita (umat Islam) tidak perlu melaungkan azan, mencuri pun tidak mengapa kerana ia hak mutlak Tuhan," katanya.

No comments: