Masyarakat sudah muak janji manis pemimpin Pas
BUKIT MERTAJAM: Dakwaan pembangkang bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir sebagai kubu kuat mereka hanya sebahagian daripada taktik parti itu supaya Barisan Nasional (BN) tidak terus memperhebatkan kempen.
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pembangkang sengaja menyebarkan khabar angin itu bagi mengelakkan petugas BN mendekati masyarakat di situ.
“Jika mereka mengatakan Permatang Pasir milik mereka, itu tidak benar kerana kempen dari rumah ke rumah yang dijalankan, kami dapati pengundi mula mahu beralih angin,” katanya kepada pemberita selepas melawat jentera pilihan raya Wanita Umno di Tanah Liat, di sini, semalam.
Shahrizat berkata, kebanyakan penduduk sudah muak dengan kata-kata manis pemimpin Pas yang berjanji membawa pembangunan, sebaliknya keadaan tidak berubah sejak diterajui parti itu, tiga penggal lalu.
“Mereka (penduduk) meminta pemimpin BN meneruskan kempen dan mendekati penduduk di Permatang Pasir supaya kehidupan mereka berubah menjadi lebih baik daripada sekarang,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kebanyakan penduduk masih miskin dan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi memastikan dapat hidup dengan baik.
“Mereka miskin dan semakin tersepit dengan permainan politik yang dimainkan Pakatan Rakyat,” katanya. Kebanyakan mereka menyesal memilih parti yang hanya pandai berjanji tetapi tidak mahu menunaikannya," katanya.
Shahrizat berkata, penduduk juga merayu kepada jentera BN supaya menyampaikan pesanan mereka yang meminta pemimpin BN membantu mendapatkan pembangunan lebih baik seperti kawasan lain di negeri ini.
Katanya, setakat ini penduduk juga menerima petugas BN dengan baik kerana mereka bosan dengan politik tidak menentu yang ditimbulkan parti pembangkang selain mengetahui perjuangan BN benar-benar ikhlas.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment