Saturday, August 22, 2009

Calon BN minta Pas tanding secara budiman

Calon BN minta Pas tanding secara budiman


ROHAIZAT (kanan) melapah daging ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Kampung Semambu di Bukit Mertajam, semalam.

Pembangkang patut ketengah isu masalah penduduk

BUKIT MERTAJAM: Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman meminta Pas supaya bertanding secara budiman dan tidak menimbulkan isu remeh-temeh.

Katanya, calon parti itu sepatutnya menyatakan dengan jelas apa yang hendak beliau lakukan di Permatang Pasir untuk menyelesaikan pelbagai masalah penduduk di situ sejak tiga penggal lalu.

"Isu begini yang sepatutnya diketengahkan dan bukan perkara yang remeh-temeh," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu kempen dari rumah ke rumah di kawasan Sungai Semambu, di sini, semalam.

Katanya, beliau tidak mahu membuang masa mengulas pelbagai dakwaan pembangkang yang tidak benar kerana mahu menumpukan usahanya memberi penjelasan kepada penduduk mengenai apa yang akan dilakukan oleh BN di kawasan itu jika parti itu memenangi pilihan raya kecil berkenaan Selasa ini.

"Dakwaan mereka tidak benar dan mengapa saya mesti komen kepada perkara yang tidak betul. Lebih baik saya buat kerja," katanya.

Ketika ditanya mengenai bekas rakan kongsinya, Yusri Isahak yang kini menyertai kempen parti pembangkang, beliau enggan mengulas dan menyerahkan kepada penduduk untuk membuat penilaian.

"Saya tidak perlu komen, saya hendak bekerja dan biar rakyat tentukan. Isu itu biarlah kita cakap selepas pilihan raya," katanya.

Beliau berkata, sepanjang lima hari berkempen, beliau mendapat banyak maklum balas mengenai kekurangan kemudahan infrastruktur di kawasan Permatang Pasir yang menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat secara langsung.

Katanya, jika penduduk memberi peluang kepada BN untuk mewakili kawasan Permatang Pasir kali ini, masalah mereka boleh diatasi kerana Kerajaan Pusat berjanji akan menjadikan kawasan itu sebagai anak emas jika menang. � Bernama

No comments: