Saturday, August 22, 2009

Syor selaras komunikasi pentadbir DUN

Syor selaras komunikasi pentadbir DUN

JERLUN: Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan semua wakil Umno di negeri pembangkang supaya menyelaraskan komunikasi dengan pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengambil iktibar daripada situasi yang menimpa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif.

Abu Hassan berdepan kemungkinan digugurkan daripada mewakili kerusi itu berikutan tidak hadir dua kali berturut-turut ke persidangan DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu mengikut Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

Mukhriz berkata, beliau tidak berniat membela sesiapa tetapi isu ini kemungkinan digunakan oleh kerajaan negeri untuk mengambil kesempatan bagi menjatuhkan calon Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan peruntukan sedia ada.

Katanya, wakil rakyat Umno perlu ambil iktibar mengenai perkara ini dan tidak memandang remeh isu komunikasi dan pentadbiran yang mungkin menjejaskan sedikit imej Umno apabila pihak lawan mengambil kesempatan memanipulasi situasi yang berlaku.

"Kalau kita teliti betul-betul situasi ini, ia berlaku dalam masa panjang dan berasingan iaitu yang pertama pada bulan April manakala yang kedua pada 9 Ogos lalu yang mana hanya satu persidangan saja berlangsung setakat ini.

"Jadi tidak mustahil perkara ini boleh berlaku, lebih-lebih lagi saya sendiri tahu Abu Hassan memang menghadapi masalah kesihatan kerana saya pernah melawatnya di hospital ketika menerima rawatan.

"Bagaimanapun, ini bukan bidang kuasa saya kerana kita perlu menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menentukannya," katanya selepas sesi dialog bersama pemegang saham projek ternakan udang Kerpan di sini, semalam.

Kira-kira 200 pemegang saham yang juga pemilik asal tanah yang kini menjadi tapak ternakan udang itu hadir untuk meluahkan masalah dihadapi sejak lebih 15 tahun lalu terutama kegagalan pihak berkaitan menguruskan bayaran kepada pemegang saham.

Mengulas mengenainya Mukhriz berkata, beliau akan cuba membawa perkara itu kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan jalan penyelesaian kepada masalah yang sudah berlarutan selama 15 tahun.

No comments: