Nafi unsur sabotaj calon BN
Oleh Zainab Mohd Yatim
zmy@bharian.com.my
Jentera parti tunjuk komitmen rampas Permatang Pasir: Muhyiddin
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak andaian wujudnya unsur sabotaj terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman kerana jentera pilihan raya parti menunjukkan komitmen untuk merampas kawasan itu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, beliau tidak fikir dalam Umno ada sabotaj kerana mereka sudah bersepakat akan mematuhi apa saja keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti.
"Saya tak fikir dalam Umno ada sabotaj. Kita sudah bersepakat, apa pun keputusan yang dibuat kepemimpinan parti, mereka akur dan sekarang kita tidak bincang soal itu.
"Mereka di bawah bekerja keras meyakinkan pengundi untuk membuat keputusan dan saya tidak lihat apa-apa petanda dalam kelompok BN yang hendak mengambil tindakan seperti itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo SME Corporation Malaysia dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pajakan antara SME Corp dengan MRCB di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, beliau sudah duduk berbincang bersama jentera Umno dan yakin komitmen yang diberikan begitu nyata.
"Saya sudah pun duduk bersama mereka dan mereka nampak begitu komited, jadi ini (sabotaj) mungkin adalah kenyataan yang dibuat oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan imej BN.
"Mereka membuat berbagai tohmahan. Kita hairan, lagi dekat bulan puasa lagi kerap mereka membuat kempen memburuk dan memfitnah," katanya.
Pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir Selasa ini, BN yang diwakili Setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat, 38, akan menentang Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Salleh Man, 52.
Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63 daripada PAS pada 31 Julai kerana sakit jantung.
Pas menggunakan isu pembatalan lesen guaman sivil Rohaizat sebagai modal kempen pada pilihan raya kecil itu.
Ditanya mengenai kerancakan kempen, secara berseloroh Muhyiddin berkata, perkembangan itu mungkin disebabkan kesempatan yang diambil sebelum bermulanya bulan puasa.
"Mungkin rancak pasal tak lama lagi nak puasa, jadi mereka mengambil kesempatan sebelum tidak boleh bercakap, untuk luahkan pelbagai perkara.
"Saya fikir yang penting sekarang ini ialah membiarkan pengundi membuat keputusan, sepatutnya tumpuan kita ialah soal dasar parti, apa prinsip perjuangan parti yang bertanding dan BN sudah jelaskan perkara ini," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment