Saturday, August 22, 2009

Muhyiddin minta polis siasat, ambil tindakan tegas

Muhyiddin minta polis siasat, ambil tindakan tegas

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan polis menjalankan siasatan rapi serangan bom api di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Klang, Selangor, kelmarin.

"Saya harap polis akan jalankan siasatan cukup rapi.

"Saya anggap perkara ini serius, seolah-olah ada pihak yang mahu menggugat kredibiliti dan keupayaan badan penguat kuasa undang-undang seperti SPRM," katanya selepas melancarkan logo SME Corporation Malaysia dan majlis menandatangani perjanjian pajakan antara SME Corp dengan MRCB di Kuala Lumpur, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan.

"Mungkin serangan bertujuan menakutkan, tapi saya percaya pengurusan SPRM tak akan tunduk dengan tindakan jahat pihak yang bertanggungjawab.

"Saya tahu polis dan SPRM bekerja rapat kenal pasti sebab dan siapakah melakukan angkara ini," katanya.

di KLUANG, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata serangan bom api terhadap kenderaan SPRM membuktikan ada pihak yang disiasat kerana penyalahgunaan kuasa dan rasuah semakin tertekan dengan kesungguhan pihak berkuasa melaksanakan tugas.

Katanya, berikutan itu pihak terbabit menggunakan pelbagai cara termasuk mengupah samseng untuk menakutkan pihak berkuasa bagi menghalang siasatan.

Beliau berkata, walau apa pun ugutan dilakukan, penguat kuasa tidak harus takut atau patah semangat.

"Kita jalankan tugas jangan tunduk kepada mereka yang cuba menakutkan kita.

"Kita berada di landasan benar dan apa yang kita lakukan untuk kepentingan orang ramai," katanya selepas lawatan kerja di Penjara Kluang, di Kampung Gajah, di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, apa yang berlaku kepada SPRM di Klang itu tidak mustahil berlaku kepada agensi penguat kuasa lain seperti polis dan penjara.

Beliau mengingatkan semua peringkat dalam agensi terbabit berpegang kepada prinsip asas tugas mereka tanpa rasa takut.

"Saya meminta agensi yang ditugaskan membawa mereka disyaki terbabit kesalahan termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa ke muka pengadilan supaya bersungguh-sungguh kerana jika kita tidak tegas, apa yang berlaku kepada SPRM mungkin akan berlaku kepada agensi lain," katanya.

No comments: