Saturday, August 22, 2009

Pengundi kecam tindakan Gobalakrishnan

Pengundi kecam tindakan Gobalakrishnan


PENGUNDI di kawasan Kampung Sungai Limau membantah tindakan Gobalakrishnan menyerang seorang pegawai kanan Majlis Perbandaran Kulim Kedah.

KULIM: Pengundi di kawasan Parlimen Padang Serai kini mula berasa tidak selesa dengan tindakan Ahli Parlimen mereka, N Gobalakrishnan, yang didakwa bertindak seperti samseng apabila menyerang seorang pegawai kanan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) pada 14 Ogos lalu.

Setiausaha Umno bahagian Padang Serai, Dr Ahmad Zubib Saad, mendakwa tindakan Gobalakrishnan itu tidak sesuai dengan budaya yang diamalkan di negara ini.

Beliau berkata, dalam kejadian 14 Ogos lalu, Ahli Parlimen berkenaan bersama beberapa penyokongnya pergi ke pejabat MPKK berkaitan isu membabitkan peniaga di kawasan Padang Serai.

"Tindakan Ahli Parlimen itu seakan-akan samseng apabila menyerang penjawat awam di pejabat kerajaan hanya kerana sesuatu isu yang boleh dibincangkan secara berhemah.

"Sebagai wakil rakyat, beliau patutnya berbincang dengan MPKK dan bukannya menyerang pegawai berkenaan bersama penyokongnya.

"Kami berasa kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen berkenaan yang bertindak seolah-olah negara ini tidak mempunyai undang-undang.

"Akibat daripada kejadian itu, kami pengundi di kawasan ini berdiri teguh di belakang MPKK dalam menjalankan tugas mereka untuk orang ramai," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Limau, Lunas dekat sini, semalam.

Seramai 50 pengundi di Kampung Sungai Limau menunjukkan kain rentang mengecam tindakan Gobalakrishnan itu, semalam.

Antara kain rentang itu tertulis 'Tindakan YB Gobalakrishnan Ahli Parlimen Padang Serai menyerang Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim Kedah adalah satu perbuatan biadap dan Umno bahagian Padang Serai Berdiri Teguh Di Belakang MPK Di atas Sebarang Tindakan Demi Kepentingan Orang Ramai'

Kejadian di pejabat MPKK itu dilakukan tiga hari sebelum hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Pulau Pinang apabila Gobalakrishnan sekali lagi membuat kecoh dan mengasari anggota keselamatan.

No comments: