Saturday, August 22, 2009

Pengundi tak perlu bimbang penularan H1N1

Pengundi tak perlu bimbang penularan H1N1

BUKIT MERTAJAM: Pengundi tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Selasa ini kerana pelbagai langkah pencegahan awal penularan selesema babi atau Influenza A (H1N1) sudah diambil.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pengundi boleh keluar beramai-ramai untuk mengundi dan tidak perlu risau dengan penularan penyakit H1N1.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengambil pelbagai langkah pencegahan termasuk mengedarkan topeng muka percuma.

"Kita juga memberi taklimat kepada pegawai SPR mengenai langkah pencegahan penyakit itu serta bekalan topeng muka untuk diedarkan kepada pengundi.

"Beberapa pegawai kesihatan pula akan memantau semua lokasi pusat mengundi di DUN Permatang Pasir bagi memastikan pengundi mematuhi arahan ditetapkan kementerian untuk membendung wabak itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen pencegahan H1N1 di Bukit Indera Muda di sini, semalam.

Sehingga pagi semalam, sebanyak 380 kes baru dijangkiti H1N1 di seluruh negara, menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 5,876 orang dijangkiti penyakit itu.

Bagaimanapun, tiada kematian dicatatkan berbanding kelmarin dan setakat ini, jumlah kematian kekal 68 orang.

No comments: