Saturday, August 22, 2009

Desakan pilihan raya kecil DUN Kota Seputeh perlu diperinci

Desakan pilihan raya kecil DUN Kota Seputeh perlu diperinci

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh tergesa-gesa mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh, Kedah disebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan, Datuk Abu Hassan Sarif gagal menghadiri sidang DUN selama dua kali berturut-turut.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, ini kerana pegawai undang-undang SPR perlu meneliti secara terperinci desakan dibangkitkan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail sebelum membuat sebarang keputusan.

Abdul Aziz, berkata SPR turut difahamkan bahawa Abu Hassan mempunyai sijil cuti sakit disebabkan masalah kesihatan dan wakil rakyat itu juga memaklumkan perkara berkenaan kepada Badan Perhubungan Umno Negeri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahadzir Khalid.

“Kemungkinan disebabkan masalah kesihatan Adun Kota Seputeh tidak dapat hadir sidang DUN. Saya difahamkan beliau diberikan sijil cuti sakit akibat sakit dada. Bagaimanapun, SPR akan mengkaji desakan Abdul Isa itu,” katanya, semalam.

Kelmarin, Abdul Isa tetap mahu Abu Hassan digugurkan daripada jawatan berkenaan kerana gagal menghadiri sidang DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Beliau, berkata peraturan 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah menyebut mana-mana ahli dewan tidak hadir pada sidang DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendak dikosongkan.

Abdul Aziz, berkata ketika ini SPR sedang menumpu perhatian kepada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.

No comments: